Pesara wanita rugi RM194,000 ditipu 'polis'

Seorang pesara kerajaan wanita kerugian lebih RM194,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan.- Gambar hiasan
Seorang pesara kerajaan wanita kerugian lebih RM194,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan.- Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Gara-gara takut ditangkap kononnya terbabit dalam penggubahan wang haram, seorang pesara kerajaan wanita kerugian lebih RM194,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa berusia 50-an menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang mendakwa sebagai peguam pada 21 Disember tahun lalu.

Menurutnya, selepas itu panggilan mangsa didakwa disambungkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, Selangor bagi membuat aduan kepada pihak polis sebelum siasatan dijalankan.

"Individu itu mendakwa sebagai polis dan mangsa dimaklumkan terbabit dengan penggubahan wang haram dan terdapat waran tangkap atas nama mangsa.

"Mangsa menafikan terbabit dengan aktiviti itu dan individu terbabit memintanya memberikan butiran akaun bank bersama baki simpanan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Jelas beliau, setelah memberikan maklumat berkenaan, mangsa kemudian diminta untuk membuka akaun bank baharu selain memindahkan kesemua wang ke dalam akaun tersebut.

Ujar beliau, mangsa telah memindahkan kesemua wang simpanannya ke akaun baharu itu untuk tujuan siasatan dalam tempoh 28 Disember hingga 2 Januari lalu.

Kata beliau, empat hari kemudian iaitu pada 6 Januari mangsa mendapati kesemua wang dalam akaun baharu telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga tanpa pengetahuan dengan jumlah RM194,210.

"Mangsa yang sedar ditipu selepas kehilangan wangnya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Masjid Tanah pada Jumaat lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya lagi.