Rebut peluang menabung SSPN-i

Affendi Rajini Kham (dua dari kiri) menyampaikan baju T Jelajah Solo Gen Y kepada Syed Azelan (tengah) pada Program Jelajah Solo Gen Y: Nilai-Nilai Murni Rakyat Malaysia, semalam.
Affendi Rajini Kham (dua dari kiri) menyampaikan baju T Jelajah Solo Gen Y kepada Syed Azelan (tengah) pada Program Jelajah Solo Gen Y: Nilai-Nilai Murni Rakyat Malaysia, semalam.
A
A
A

KAMPUNG GAJAH - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyarankan ibu bapa mula menabung dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) untuk anak mereka sebagai persediaan melangkah ke menara gading.

Pengurus Besar Kanan PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar berkata, pihaknya sentiasa menggalakkan masyarakat untuk menerapkan budaya menabung dari awal agar dapat mengurangkan beban kewangan demi pendidikan anak-anak pada masa depan.

"Ibu bapa digalakkan untuk merebut peluang penabungan menerusi SSPN-i yang mempunyai banyak kelebihan selain simpanan serendah RM20 bagi pembukaan akaun dan membuat penambahan deposit untuk akaun anak mereka.

"Selain mempunyai pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 simpanan tahun semasa mulai tahun ini, SSPN-i ini mempunyai perlindungan takaful percuma, kadar dividen yang kompetitif, pemberian Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi keluarga yang layak serta simpanan yang dijamin oleh kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jelajah Solo Gen Y: Nilai-Nilai Murni Rakyat Malaysia anjuran Yayasan Kebajikan Perlis (YKPs) dengan kerjasama PTPTN di Sekolah Menengah Kebangsaan Changkat Lada, Seberang Perak di sini, semalam.

Wan Zawiah dan Affendi (tengah) menjayakan peogram Jelajah Solo Gen Y: Nilai-nilai Murni Rakyat Malaysia di SMK Changkat Lada, Seberang Perak, semalam.
Wan Zawiah dan Affendi (tengah) menjayakan peogram Jelajah Solo Gen Y: Nilai-nilai Murni Rakyat Malaysia di SMK Changkat Lada, Seberang Perak, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YKPs, Affendi Rajini Khan; Pegawai Pendidikan Daerah Perak Tengah, Saidin Osman dan Pengetua SMK Changkat Lada, Syed Azlan Syed Abu Hassan.

Pada majlis itu, seramai 450 pelajar Tingkatan 4 dan 5 daripada tiga buah sekolah dalam Parlimen Pasir Salak menerima sumbangan simpanan RM20 berbentuk deposit akaun SSPN-i.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, seramai 165 pelajar asnaf cemerlang turut menerima sumbangan tambahan RM100 dalam bentuk simpanan SSPN-i dari Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perlis.

Affendi berkata, jelajah solo yang meliputi kawasan luar bandar itu dapat membuka mata pelajar untuk menerima pendidikan motivasi hanya di hujung jari selain menerapkan nilai-nilai murni yang kian dilupakan.

"Ceramah yang disampaikan lebih menerapkan nilai-nilai murni, anti buli dan menerapkan semangat patriotik kerana pelajar-pelajar ini adalah generasi Y yang bakal menjadi ejen nilai murni kepada yang lain.

"Jelajah ini tidak terhenti kepada ceramah apabila mereka akan terus berhubung dengan melayari Facebook YKPs untuk menerima kapsul pendidikan motivasi yang disediakan pelajar lain. Platform di alam maya ini salah satu cabang pendidikan mudah dihampiri pelajar," katanya.

Wan Zawiah (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan SSPN-i kepada salah seorang pelajar di SMK Changkat Lada, semalam.
Wan Zawiah (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan SSPN-i kepada salah seorang pelajar di SMK Changkat Lada, semalam.

Sementara itu, Saidin menyifatkan program ini dapat memberi pendedahan terutama kepada pelajar luar bandar untuk komited dalam pendidikan serta memperkukuhkan jati diri sebagai sebahagian rakyat negara.

"Kita tidak mahu nombor menjadi kayu ukur kepada sesuatu kecemerlangan, ia perlulah selari dengan nilai murni seperti salam, ucapan terima kasih dan maaf, ini membantu membangunkan generasi Y sekaligus menjadikan ia satu kejayaan kepada semua.

"Kehadiran PTPTN juga dapat memberi pendedahan dan pengetahuan kepada pelajar akan pentingnya menabung dan peluang mereka untuk melanjutkan pelajaran. Konsep jelajah ini bagus sebagai cetusan awal pelajar untuk menabung," katanya.