Peniaga tiada sijil halal, ini amaran JAIS

Haris Kasim
Haris Kasim
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan tiada individu, premis yang tidak mempunyai sijil halal mengambil kesempatan mempromosikan hidangan berbuka puasa atau ‘bufet Ramadan’.

Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana premis atau individu yang didapati mengambil kesempatan sedemikian.

"Tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap penyalahgunaan ungkapan atau penandaan halal bagi memastikan tiada umat Islam yang terperdaya.

"Masa sama, JAIS menyeru kepada peniaga dan pengusaha industri makanan yang tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia untuk mengemukakan permohonan dengan segera bagi membolehkan promosi bufet Ramadan itu dilakukan dengan tatacara ditetapkan,

"Bagi tindakan itu, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM250,000 dan RM500,000 bagi kesalahan kedua dan berikutnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam.

Katanya, umat Islam di negeri ini diingatkan agar sentiasa menjaga kesucian bulan Ramadan yang bakal menjelang tiba ini.

Tegasnya, pihaknya melalui Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan dan Bahagian Pengurusan Halal sentiasa komited dalam memastikan pemantauan dan penguatkuasaan dijalankan sepanjang Ramadan ini.

Artikel Berkaitan:

"Pemantauan dan penguatkuasaan dijalankan terhadap premis makanan yang menjual makanan kepada umat Islam secara terbuka atau di tempat awam pada waktu siang termasuk menjualnya kepada mereka yang tidak berpuasa.

"Menjadi kesalahan apabila individu beragama Islam didapati menjual kepada mana-mana orang Islam atau membeli makanan, minuman, rokok atau benda lain seumpamanya untuk di makan, di minum atau dihisap pada waktu itu," katanya.

Haris berkata individu yang didapati menjual dan membeli apa-apa makanan, minuman atau merokok, boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 19 Tidak Menghormati Ramadan, Enakmen 9 tahun 1995 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor).

"Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

“Manakala, bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya,” katanya.

Orang awam diminta menghubungi pihaknya di talian 03-55143760 atau 3486 bagi melaporkan sebarang keraguan berhubung sijil halal.