Pecah monopoli buka ruang pemain industri bersaing

Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu lalu.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu lalu.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Amalan monopoli di negara ini perlu diperhalusi bagi membuka peluang kepada pemain industri bersaing meningkatkan kecekapan perkhidmatan masing-masing, sekali gus mewujudkan persekitaran pasaran lebih kondusif kepada rakyat.

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Fakulti Perniagaan Putra, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, sekiranya wujud banyak persaingan, syarikat yang terlibat akan berusaha menawarkan perkhidmatan terbaik dengan harga berpatutan untuk mendapatkan pelanggan.

"Biasanya syarikat yang mempunyai status monopoli akan cenderung untuk menaikkan dan mengekalkan harga yang tinggi kepada pelanggan yang tidak mempunyai pilihan lain dan ini menyebabkan kekayaan serta keuntungan sesebuah syarikat tidak dimanfaatkan kepada banyak pihak.

"Jadi secara teori jika terdapat banyak penawaran, harga barangan atau perkhidmatan itu akan turun dan ia akan memaksa syarikat terlibat menjadi lebih cekap dalam usaha mendapatkan pelanggan masing-masing, sekali gus memberi manfaat dan pilihan kepada pengguna,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun Ahmed Razman berkata, kerajaan perlu mengkaji sebaiknya kesediaan pemain industri termasuk kemampuan pengurusan dan kewangan syarikat supaya mereka dapat menawarkan perkhidmatan yang setanding syarikat monopoli.

Ini kerana beliau percaya terdapat beberapa industri yang memerlukan masa untuk dipecahkan monopoli tersebut terutama yang melibatkan penggunaan teknologi.

"Kalau nak hapuskan monopoli kena ada penggantinya bermakna adakah kita mempunyai beberapa organisasi yang mampu menawarkan barangan dan perkhidmatan yang sama ditawarkan monopoli tersebut.



"Saya lihat kemampuan itu ada dan kita lihat ada banyak yang berpotensi mewujudkan persaingan sihat cuma kena teliti pelbagai sudut dan jenis industri contohnya yang mudah dipecahkan monopoli kini ialah Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) dan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) manakala Touch 'n Go (TNG) memerlukan lebih masa,” katanya.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan sedang mengkaji semula semua monopoli yang wujud di dalam negara ini sebagai langkah untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan adil kepada rakyat pada kos yang berpatutan.

Pada sidang media di Jeddah pada akhir lawatan rasmi tiga hari beliau ke Arab Saudi, Anwar berkata, semua kementerian telah diarahkan untuk mengkaji kewajaran pelaksanaannya supaya terdapat suatu penilaian adil terhadap isu berkenaan.

Sementara itu Ahli Ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak, Prof Barjoyai Bardai berkata, terdapat beberapa situasi yang perlu diambil kira sebelum kerajaan mahu menamatkan monopoli termasuk kepentingan sesuatu organisasi sebagai badan pemantau.

Barjoyai berpandangan, perkara itu penting bagi mengelakkan salah guna kuasa terutama membabitkan pengawal seliaan kualiti dan tahap perkhidmatan yang ditawarkan syarikat baharu.

"Organisasi yang berkait rapat dengan usaha menegakkan undang-undang ini perlu dilihat dengan teliti kerana mereka mempunyai pakar yang sudah berpengalaman dan syarikat baharu tidak boleh sesuka hati melantik individu biasa untuk memantau perkhidmatan yang ditawarkan.

"Contohnya Puspakom orang tidak suka kerana tempoh menunggu yang panjang dan prosedur yang remeh walaupun kos tidak membebankan namun syarikat baharu yang akan menyediakan perkhidmatan seumpama itu tidak boleh ambil mudah soal meluluskan pemeriksaan kenderaan hanya kerana mahu menarik lebih ramai pelanggan,” katanya. - Bernama