Kerajaan perlu terus bantu pembangunan pusat tahfiz

Ismail Sabri menyantuni anak-anak Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat pada Ahad.
Ismail Sabri menyantuni anak-anak Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat meneruskan dasar pembangunan sekolah tahfiz yang dilaksanakan sebelum ini.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, penyediaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada pelajar-pelajar tahfiz harus ditekankan bagi membantu mereka menjana pendapatan selain bergantung kepada pengajian ilmu agama semata-mata.

“Kita tidak mahu pelajar tahfiz hanya terikat dengan pembelajaran tahfiz sahaja.Kita juga mahu mereka mahir dalam subjek-subjek ilmiah yang lain.

"Sebab itu kerajaan dahulu sediakan tahfiz TVET yang menyediakan latihan TVET kepada pelajar-pelajar tahfiz yang berminat,” katanya semasa Program Kongsi Rezeki Ramadan di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat pada Ahad.

Menerusi program itu, beliau menyampaikan 100 pek buka puasa kepada pelajar di pusat tahfiz berkenaan.

Beliau berkata, semasa Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri telah diwujudkan jawatankuasa kabinet yang dibentuk khusus untuk melihat secara menyeluruh isu-isu berkaitan tahfiz.

“Sebab itu kita menyediakan tahfiz TVET untuk mewujudkan latihan kepada pelajar tahfiz.

“Jadi, saya harap apa yang pernah dilakukan akan diteruskan untuk kerajaan sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri akui mempunyai nilai sentimental dengan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat kerana pernah berbuka puasa bersama mangsa pusat tahfiz yang maut dalam tragedi kebakaran yang berlaku pada 2017.

“Saya ada sentimental dengan pusat tahfiz ini kerana sebelum kejadian kebakaran, saya mengenali sebahagian besar pelajar di sini.

“Kita buat majlis berbuka puasa dengan pelajar di sini iaitu 33 bulan sebelum kejadian. Jadi sempat makan bersama mereka sehingga kejadian kebakaran tersebut.

“Bersama saya waktu berbuka itu, saya difahamkan 15 belas yang terkorban ketika kejadian,” ujarnya.

Pusat tahfiz berkenan sebelum ini pernah menggemparkan negara dengan insiden kebakaran yang meragut nyawa 21 pelajar dan dua warden pada 14 September 2017.