Penduduk resah berdepan masalah gangguan bekalan air

Penduduk berharap masalah ketiadaan air dapat diatasi dengan segera.
Penduduk berharap masalah ketiadaan air dapat diatasi dengan segera.
A
A
A

TANAH MERAH - [DIKEMAS KINI] Lebih 2,000 penduduk di Kampung Lalang Pepuyu dan Kampung Kuala Kajang di sini berdepan kesukaran melakukan rutin harian selepas menghadapi masalah air sejak sehari sebelum Ramadan.

Penduduk mendakwa, masalah itu belum selesai dan ada yang terpaksa mandi di sungai serta mengambil air dari masjid berdekatan.

Penduduk yang mahu dikenali sebagai Long Nasihah, 63, berkata, keadaan menjadi lebih rumit kerana berlaku ketika Ramadan.

"Saya terkejut kerana tiada bekalan air ketika mahu bersiap solat Subuh pada Rabu tetapi tidak menerima sebarang notis," katanya.

Long Nasihah yang tinggal lima beranak di kediamannya mendakwa terpaksa berjimat menggunakan air yang diambil suaminya di masjid berdekatan.

Bagaimanapun katanya, syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan anggota bomba ada datang ke menghantar bekalan air kepada penduduk pada Ahad.

"Kami juga tidak tahu punca yang mengakibatkan bekalan air terputus tetapi berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera," katanya ketika ditemui dekat sini.

Roslina Abdul Manaf, 58, pula berkata, dia terpaksa membasuh pakaian di premis dobi layan diri sepanjang ketiadaan bekalan air.

Roslina
Roslina

"Memang saya terpaksa mengeluarkan kos tetapi kami perlu membasuh pakaian dan peralatan rumah walaupun ketiadaan air," katanya.

Dia yang tinggal bersama enam ahli keluarga lain bersyukur kerana sudah mengambil bekalan air yang dihantar oleh anggota bomba selepas tiga hari berdepan kesukaran.

Surirumah, Wan Kiah Wan Hassan memberitahu, dia juga terpaksa memunggah air dari rumah jiran yang mempunyai telaga.

"Air paip di rumah saya terlalu perlahan menyebabkan rutin harian tergendala yang menambahkan lagi kesukaran kerana bulan puasa," katanya.

Wan Kiah turut mendakwa dia hanya memasak sekali sehari untuk berbuka dan mereka akan menikmati lauk sama ketika sahur kerana perlu menjimatkan air.

Bagi peniaga, Hamka Che Hassan, bekalan air yang perlahan memerlukannya membuat persiapan awal untuk berniaga lauk-pauk berbuka puasa.

Bagaimanapun katanya, peralatan memasak akan dibasuh pada waktu malam bagi menjimatkan air.

"Sebelum ini masalah air pernah berlaku tetapi bukan dalam tempoh yang lama. Kami juga tidak tahu puncanya sehingga empat hari terpaksa berdepan masalah ini," katanya.

Sementara itu, pengurusan AKSB ketika dihubungi memaklumkan, Kampung Lalang Pepuyu merupakan kawasan di hujung daerah dengan muka bumi yang agak tinggi.

Menurut AKSB, kawasan itu mendapat bekalan air daripada LRA Batu Gajah.

"Bagaimanapun, penggunaan air yang banyak dalam musim kemarau memberi kesan kepada tekanan air ke kawasan kampung itu dan AKSB sedang mengambil tindakan serta beberapa inisiatif untuk mengatasi masalah ini," katanya.

Tambah pihak AKSB, langkah pendek yang sudah diambil selepas aduan ialah penghantaran air melalui lori tangki AKSB.

"Sementara team AKSB Tanah Merah dengan kerjasama Unit NRW masih membuat siasatan dan tindakan di tapak," katanya.