Pecah monopoli tidak beri kesan pengurangan tenaga kerja

Sivakumar dalam sidang akhbar pada Sabtu.
Sivakumar dalam sidang akhbar pada Sabtu.
A
A
A

BATU GAJAH - Langkah kerajaan menghentikan monopoli dalam sektor perkhidmatan tidak akan memberi kesan terhadap pengurangan tenaga kerja di negara ini, kata Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.

Beliau berkata, jaminan itu diberikan memandangkan permintaan terhadap keperluan tenaga kerja di negara ketika ini adalah tinggi.

"Lihat kepada kekosongan (kerja) yang wujud, kita yakin proses ini (kaji monopoli) tidak akan beri apa-apa kesan buruk kepada sektor pekerjaan yang ada di negara kita.

"Masalah pengangguran yang berlaku sekarang disebabkan mereka yang memilih kerja, itu yang menjadi masalah," katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan iftar 2023 kepada masjid dan surau di kawasan Parlimen Batu Gajah di Dewan Bandaran Kinta dekat sini pada Sabtu.

Sivakumar (dua dari kiri) menyantuni pengerusi masjid dan surau yang hadir sempena sumbangan iftar 2023 bagi kawasan Parlimen Batu Gajah di Dewan Bandaran Kinta pada Sabtu.
Sivakumar (dua dari kiri) menyantuni pengerusi masjid dan surau yang hadir sempena sumbangan iftar 2023 bagi kawasan Parlimen Batu Gajah di Dewan Bandaran Kinta pada Sabtu.

Ahli Parlimen Batu Gajah itu berkata, Kementerian Sumber Manusia juga serius mencari langkah terbaik bagi membendung monopoli oleh pihak tertentu dalam pengambilan pekerja asing ke negara ini.

Katanya, perkara itu perlu dilakukan supaya tiada mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan yang tinggi melebihi keperluan yang dihadapi industri.

"Kerajaan nak pastikan wujudnya satu persaingan yang sihat supaya kualiti barangan dan perkhidmatan menjadi bertambah baik dan dalam masa sama membolehkan kos menurun.

"Kalau kita terus biarkan mana-mana satu pihak monopoli, maka yang menjadi rugi rakyat sebab yang monopoli itu selalunya akan mengaut keuntungan tinggi," katanya.

Dalam majlis itu, sebanyak 31 masjid dan surau menerima sumbangan RM5,000 membabitkan jumlah keseluruhan RM155,000.

Sumbangan tahunan itu bagi tujuan aktiviti dan program pembangunan masjid dan surau sepanjang Ramadan.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan sedang mengkaji semula semua monopoli yang wujud di dalam negara sebagai langkah menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan adil kepada rakyat pada kos yang berpatutan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua kementerian telah diarahkan untuk mengkaji kewajaran pelaksanaannya supaya terdapat suatu penilaian adil terhadap isu berkenaan.

Kerajaan telah membuat keputusan memecah monopoli Touch n Go (TNG) dalam sistem pengangkutan dan jalan raya serta Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sebagai pemeriksa berkala kenderaan tunggal bagi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Terbaru, Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa kerajaan menumpukan usaha membebaskan monopoli dalam sektor perubatan dan makanan.