AMK sokong kerajaan perhalusi Seksyen 309 Kanun Keseksaan

Khairul Naim dan laporan Sinar Harian.
Khairul Naim dan laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menyokong penuh langkah proaktif kerajaan dalam memperhalusi peruntukan Seksyen 309 Kanun Keseksaan untuk menyahjenayahkan kesalahan cubaan membunuh diri.

Menurut Ketua Biro Undang-Undangnya, Khairul Naim Rafidi, di Malaysia cubaan membunuh diri merupakan satu jenayah dan individu yang melakukan perbuatan tersebut boleh dituduh di mahkamah serta dikenakan hukuman pemenjaraan sehingga satu tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

"Sejak penjajahan British di Tanah Melayu pada abad ke-18, mereka telah datang dan membawa bersama-sama undang-undang yang digelar sebagai undang-undang Inggeris.

"Sejak abad ke-13, pihak British telah meletakkan bahawa seseorang yang cuba untuk membunuh diri boleh dihukum jika percubaan tersebut gagal," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Namun beliau menambah, AMK Selangor beranggapan bahawa zaman sudah berubah dan pelbagai kaedah pencegahan lebih efektif boleh dilaksanakan selain menghukum serta menganggap perbuatan ini sebagai suatu jenayah.

"Negara seperti German telah sekian lama melaksanakan langkah dengan menggugurkan anggapan cubaan membunuh diri sebagai satu jenayah pada tahun 1751.

"Malah, kebanyakan negara Eropah mula mengambil langkah yang sama dengan tidak menjadikan cubaan bunuh diri sebagai jenayah selepas berlakunya Revolusi Perancis pada abad ke-18," katanya.

Selain itu, katanya, Singapura juga tidak ketinggalan dalam mengambil langkah pragmatik dengan menggugurkan jenayah cubaan membunuh diri daripada Kanun Keseksaan bermula 1 Januari 2020.

Sehubungan itu, AMK Selangor melihat bahawa usaha menyahjenayahkan cubaan bunuh diri ini adalah suatu tindakan yang perlu memandangkan kes cubaan bunuh diri kian meningkat dari hari ke hari.

"Isu ini seharusnya dilihat sebagai satu isu kesihatan awam, diikuti dengan tindakan mengubah nilai budaya masyarakat terhadap perbuatan membunuh diri melalui kaedah perubatan, agama dan nilai-nilai yang baik," katanya

AMK Selangor juga berpandangan bahawa pendekatan yang paling tepat dalam menangani masalah keinginan membunuh diri adalah melalui kaedah klinikal.

Menurutnya, adalah jelas bahawa sekiranya undang-undang sedia ada yang bersifat pencegahan (deterrence) telah wujud, tetapi kejadian ini masih berterusan berlaku, ini menunjukkan bahawa undang-undang tersebut tidak berjaya.

"Oleh itu, Seksyen 309 Kanun Keseksaan di Malaysia seharusnya dimansuhkan seterusnya memberi penekanan terhadap penyelesaian yang lebih efektif dalam mencegah masalah ini daripada terus membarah.

"Memansuhkan peruntukan tersebut bukan bermakna masyarakat menyokong tindakan membunuh diri, tetapi langkah yang lebih proaktif dan efektif perlu dilaksanakan selari dengan zaman bagi membantu masyarakat," katanya.

Pada Rabu, media melaporkan kerajaan sedang memuktamadkan ketetapan dasar dan juga beberapa rang undang-undang (RUU) bagi menyahjenayah kesalahan percubaan membunuh diri supaya dapat dikendalikan sebagai isu kesihatan awam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, bermula akhir Disember lalu juga beliau telah mempengerusikan sebanyak 10 sesi libat urus dan mesyuarat bersama pelbagai pihak berkepentingan.

Antara pihak terlibat katanya, agensi kerajaan; ahli Parlimen; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Kementerian Dalam Negeri di Singapura bagi meneliti dan menyelesaikan kesemua perkara perundangan yang berbangkit dalam usaha ini.