Kerajaan sedang muktamad menyahjenayah kesalahan cubaan bunuh diri

Ramkarpal Singh ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto Bernama
Ramkarpal Singh ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang memuktamadkan ketetapan dasar dan juga beberapa rang undang-undang (RUU) bagi menyahjenayah kesalahan percubaan membunuh diri supaya dapat dikendalikan sebagai isu kesihatan awam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, bermula akhir Disember lalu juga beliau telah mempengerusikan sebanyak 10 sesi libat urus dan mesyuarat bersama pelbagai pihak berkepentingan.

Antara pihak terlibat katanya, agensi kerajaan; Ahli Parlimen; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Kementerian Dalam Negeri di Singapura bagi meneliti dan menyelesaikan kesemua perkara perundangan yang berbangkit dalam usaha ini.

“Kerajaan melalui Jabatan Peguam Negara telah menjalankan kajian secara mendalam berkaitan kesalahan percubaan membunuh diri di bawah seksyen 309 Kanun Keseksaan dan cadangan pemansuhan undang-undang ini.

“Kajian ini telah meneliti pendekatan yang diambil di beberapa negara bagi menilai justifikasi dan implikasi pelaksanaannya dari segi perundangan.

“Sebagai langkah seterusnya, satu Memorandum Jemaah Menteri berkenaan usaha ini akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri dalam masa yang terdekat untuk kelulusan dan sejurus itu, kesemua rang undang-undang berkenaan akan dibentangkan di Parlimen untuk pembahasan dan kelulusan,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH - Bandar Kuching) yang memintanya menyatakan tentang perkembangan pengumuman kerajaan untuk meminda seksyen 309 Kanun Keseksaan untuk menyahjenayah kesalahan percubaan membunuh diri untuk menangani isu peningkatan jumlah kes berkenaan di seluruh Malaysia.

Jelas Ramkarpal lagi, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang dilaksanakan oleh Institut Kesihatan Umum, Kementerian Kesihatan pada tahun 2019 mendapati prevalen kemurungan dalam kalangan masyarakat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas adalah 2.3 peratus iaitu menghampiri 500,000 orang.

Bagaimanapun katanya, selepas negara dilanda pandemik Covid-19, isu berkait dengan kesihatan mental turut menunjukkan peningkatan dari segi panggilan yang diterima oleh Talian Bantuan Sokongan Psikososial Kementerian Kesihatan.

Bagi tempoh Januari hingga Disember 2021 katanya, jumlah panggilan yang diterima adalah 212,319 panggilan, iaitu peningkatan hampir lima kali ganda berbanding dengan 44,061 panggilan pada tahun 2020.

“Masalah berkaitan kesihatan mental bukan satu isu yang baru malah telah wujud sejak sekian lama di Malaysia.

“Kajian menunjukkan individu yang mengalami kemurungan berisiko 20 kali ganda mempunyai tingkah laku bunuh diri dan mengalami kematian akibat bunuh diri,” katanya.

Justeru katanya, ia jelas memperlihatkan bahawa isu percubaan membunuh diri ini perlu dikendalikan sebagai isu kesihatan awam dan bukannya sebagai suatu kesalahan jenayah.