Bekas tentera tidak berpencen mohon bantuan bina rumah

Pondok yang dibina Abdul Samat untuk dijadikan kedai gunting rambut. (Gambar kecil: Abdul Samat)
Pondok yang dibina Abdul Samat untuk dijadikan kedai gunting rambut. (Gambar kecil: Abdul Samat)
A
A
A

TANAH MERAH - Seorang bekas tentera tidak berpencen yang mengusahakan sebuah kedai gunting rambut yang hanya berlantaikan tanah bagi menyara kehidupannya di Kampung Air Asahan Ulu, Batu Gajah dekat sini

Bapa tujuh anak itu, Abdul Samat Abdullah, 65, turut memproses akar kayu untuk dijadikan ubatan tradisional dan dijual bagi menampung keperluannya sekeluarga.

Abdul Samat berkata, dia sangat memerlukan bantuan bagi membina sebuah rumah kerana tidak mempunyai wang yang cukup untuk berbuat demikian.

“Sebelum ini saya menyewa kedai gunting dengan kadar RM300 sebulan tetapi sudah tak mampu membayarnya dan membina pondok di hadapan rumah untuk dijadikan kedai gunting rambut sejak dua bulan lalu.

“Rumah ini pula hanya menumpang di atas tanah rezab jalan raya Tanah Merah-Jeli,” katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Abdul Samat ketika menggunting rambut pelanggannya.
Abdul Samat ketika menggunting rambut pelanggannya.

Menurutnya, dia menerima pelanggan sekitar dua hingga tiga orang setiap hari dan bilangan akan bertambah menjelang persekolahan dan perayaan.

“Bulan puasa ketika ini tak ramai orang nak gunting rambut tetapi akan lebih ramai apabila dekat Aidilfitri nanti.

“Bayaran gunting rambut untuk dewasa ialah RM5 manakala kanak-kanak dan pelajar sekolah RM3 sahaja,” katanya.

Abdul Samat mengalami masalah pendengaran kesan bunyi letupan senjata ketika berkhidmat dalam pasukan tentera bermula tahun 1981 hingga 1998 dan kali terakhir bertugas di Kem Batu 11, Tanah Merah.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubunginya di talian 019-9121399 atau salurkan ke akaun Abdul Samat Abdullah Bank Islam 03054020306216.