KKM digesa ubah sistem sedia ada

Dr Zainal Ariffin (kanan) dan laporan Sinar Harian.
Dr Zainal Ariffin (kanan) dan laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa mengubah sistem pekerja perubatan berstatus kontrak sekiranya berhasrat meningkatkan kualiti di sektor itu.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Epidemiologist, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, kerajaan perlu mewujudkan sistem yang bebas daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan agar kebajikan kumpulan berkenaan dapat ditambah baik.

“Sistem perkhidmatan kesihatan memerlukan dua elemen penting iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan dan sistem pembiayaan kesihatan yang mempunyai peranan cukup besar dalam menjaga kebajikan pekerja.

“Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan berperanan sebagai sumber manusia manakala sistem pembiayaan kesihatan untuk bajet dan kewangan,” katanya pada Khamis.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seramai 6,036 pegawai perubatan dan 890 pakar perubatan KKM telah meletak jawatan dari tahun 2018 hingga 2022.

Timbalan Menteri Kesihatan, Senator Lukanisman Awang Sauni berkata, dalam tempoh sama juga seramai 1,651 pegawai farmasi KKM telah meletakkan jawatan.

Dalam pada itu, Dr Zainal Ariffin turut menzahirkan kebimbangan dengan peningkatan jumlah pekerja kesihatan yang berhenti berkhidmat sekaligus menjejaskan sektor itu di masa hadapan.

“Situasi ini berlaku di Eropah dan Amerika Syarikat di mana mereka tidak berminat menjadi doktor sehingga kekurangan tenaga kerja perubatan serta terpaksa mengambil orang luar. Saya bimbang jika berlaku kepada negara kita,” ujarnya.

Tegas Dr Zainal Ariffin, perubahan drastik berhubung pemberhentian pegawai perubatan kontrak perlu dilakukan segera agar tidak merencatkan jumlah kekurangan pekerja sektor kesihatan yang semakin membimbangkan.

“Masalah yang kita hadapi ialah apabila bertukar kerajaan semuanya akan berubah. Tetapi tidak ada satu pendekatan yang serius untuk tangani masalah pemberhentian pegawai perubatan termasuk doktor dan ahli farmasi.

“Kita harap tahun ini dengan pembentangan kertas putih di Parlimen akan mengambil kira kebajikan pegawai perubatan kontrak termasuk mereka yang terlibat secara langsung dengan sektor kesihatan,” tambah beliau.