Dadah RM3.22 juta dalam kawasan perumahan berpagar dirampas

Antara dadah dan peralatan yang dirampas Polis Johor.
Antara dadah dan peralatan yang dirampas Polis Johor.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor merampas 44.3 kilogram pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM3.22 juta dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru, Selasa lalu.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, kesemua dadah berkenaan dirampas dalam serbuan di sebuah kawasan perumahan berpagar di bandar raya ini.

“Kita dapati modus operandi yang digunakan oleh sindiket dadah berkenaan kali ini adalah kawasan perumahan gated dan guarded (berpagar dan berpengawal).

Ini bagi tujuan tidak ada yang mengekori mereka selain itu, menjadikan kereta yang diparkir di hadapan rumah sebagai stor, bagi menyelamatkan kegiatan haram ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, pada Khamis..

Beliau berkata, pihak polis telah rampas 119,750 pil eramin5 seberat 36.9 kilogram (kg) bernilai RM2.7 juta, serbuk ecstasy (5.36kg bernilai RM270,000, ketamin (903 gram bernilai RM140,000 selain pil ecstasy dan magic mushroom bernilai RM3.2 juta.



Menurutnya, sekiranya dadah-dadah tersebut terlepas ke pasaran, ia boleh digunakan oleh 150,000 orang.

“Selain itu, polis turut merampas empat kenderaan yang dianggarkan bernilai RM200,000 serta pelbagai barang kemas dan wang tunai pada serbuan berkenaan.

"Secara keseluruhannya, harta yang disita berjumlah RM210,000 manakala jumlah keseluruhan dadah dan harta yang dirampas adalah RM3.5 juta,”

Sementara itu Kamarul Zaman berkata, dalam serbuan yang dijalankan mulai 3.30 petang hingga 5 petang itu, polis turut berjaya menahan dua lelaki warga tempatan masing-masing berusia 34 dan 36 tahun dipercayai pengedar dan juga penjaga stor untuk siasatan lanjut.

Katanya, hasil siasatan mendapati seorang daripada lelaki berkenaan memiliki rekod jenayah dan seorang lagi positif dadah.

“Siasatan kita teruskan di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya dan perintah reman terhadap kedua-dua lelaki ini telah diperoleh selama tujuh hari mulai 22 hingga 28 Mac untuk siasatan lanjut.

“Secara keseluruhannya, seramai 4,000 individu dipercayai penagih dan pengedar yang terlibat dengan dadah di sekitar negeri Johor dengan hampir 850kg dadah bernilai hampir RM10 juga telah dirampas,” katanya