Sexual grooming punca kanak-kanak terjerumus homoseksual

Antun seksual seawal usia kanak-kanak dikenal pasti antara punca mereka terjerumus aktiviti homoseksual.(Gambar kecil: Lukanisman)
Antun seksual seawal usia kanak-kanak dikenal pasti antara punca mereka terjerumus aktiviti homoseksual.(Gambar kecil: Lukanisman)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni memberitahu Dewan Rakyat bahawa antun seksual (sexual grooming) seawal usia kanak-kanak dikenal pasti antara punca golongan tersebut terjerumus dalam gaya hidup homoseksual.

Beliau berkata, data menunjukkan jangkitan bermula pada umur 20 tahun sekali gus memberi bayangan ia berlaku pada usia remaja.

"Itu bermaksud sudah bermula di peringkat persekolahan.

"Saya juga melihat isu seperti ‘grooming’ adalah juga merupakan punca mengapa sebahagian kanak-kanak ataupun remaja terpaksa, dipaksa untuk memilih gaya hidup yang tidak sihat ini.

"Kita perlu bekerjasama dengan agensi-agensi NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang sentiasa mengadakan awareness (kempen kesedaran) untuk cara-cara pencegahan," katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) yang bertanya tentang strategi kerajaan bagi menangani isu jangkitan HIV berdasarkan kumpulan sasaran yang dikenal pasti oleh pihak kementerian, memandangkan pasangan homoseksual mencatatkan data kes jangkitan paling tinggi dalam negara.

Dalam pada itu, mengulas mengenai larangan Jabatan Mufti Negeri Selangor berkaitan larangan penggunaan ubat profilaksis propendedahan (PrEP) kepada pasangan homoseksual bagi mencegah HIV, beliau berkata, KKM sedang mengadakan satu sesi libat urus mengenai hal itu.

"Saya melihat kita (KKM) tidak dapat menidakkan golongan berisiko untuk mendapatkan PrEP ini.

“Saya juga melihat adalah lebih baik untuk kita mencegah golongan-golongan berisiko itu untuk menyebar luas jangkitan HIV ini di kalangan pasangan, masyarakat, rakan-rakan mahupun kenalan-kenalan mereka," katanya.