Teruskan peruntukan penganjuran anugerah nasyid Malaysia

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan disaran meneruskan peruntukkan bagi menganjuran Anugerah Nasyid Malaysia seterusnya menjadikannya festival antarabangsa terkenal.

Perkara itu disuarakan Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) yang mempersoalkan 'keciciran' peruntukan berkenaan dalam peruntukan Kementerian Komunikasi dan Digital (KWD) bagi 2023.

Beliau berkata, penganjuran anugerah nasyid Malaysia yang pernah dianjurkan pada 2020 merupakan inisiatif yang baik bagi mengembangkan potensi Malaysia sebagai tuan rumah acara seumpama itu di persada dunia.

"Pada Disember 2020, Kementerian Komunikasi dan Multimedia menganjurkan anugerah Nasyid Malaysia yang pertama.

"Ini satu inisiatif yang amat baik dan boleh dianggap sebagai permulaan untuk menjadikan Malaysia sebagai 'The Home of Contemporary Nasyeed'

"Saya menggesa kerajaan meneruskan pemberian peruntukan untuk menganjurkan anugerah Nasyid Malaysia ini seterusnya menjadikannya sebagai festival antarabangsa yang terkenal," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di peringkat jawatankuasa.

Pada Disember 2020, Anugerah Nasyid Malaysia 2020 (ANAM 2020) dianjurkan Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (Munsyid) dengan sokongan dan kerjasama daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan RTM sebagai penyiar rasmi.

Sebanyak 11 kategori dipertandingkan dengan enam kategori dinilai juri profesional manakala tiga kategori lagi melalui undian peminat.

Ia termasuk dua kategori Anugerah Khas Juri penghargaan buat artis tempatan dan satu lagi membabitkan artis nasyid dari Indonesia, Thailand, Brunei dan Singapura.

Wan Saiful menambah, peruntukan khas bagi acara berkenaan juga boleh dilaksanakan dengan turut memperkenalkan anugerah khas antarabangsa yang pernah dibincangkan sebelum ini iaitu Al Sultan Abdullah International Contemporary Nasyeed Award sempena nama Yang di-Pertuan Agong.