Agihan pendeposit TH terjejas jika subsidi haji tidak disemak

Mohd Na'im ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
Mohd Na'im ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah bantuan kewangan haji dijangka meningkat kepada hampir RM500 juta pada 2024 jika bayaran bagi tujuan ibadat itu tidak disemak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai'im Mokhtar berkata, perkara itu boleh menjejaskan agihan keuntungan kepada pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH).

"TH menjangka jumlah bantuan kewangan haji akan meningkat dari RM185 juta pada 2022 kepada RM400 juta pada 2023.

"Jumlah ini dijangka terus meningkat hampir kepada RM500 juta pada 2024 sekiranya bayaran haji tidak disemak dan ini akan memberi kesan kepada TH yang perlu memberikan agihan keuntungan berpatutan kepada pendepositnya," katanya Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Saad@Yahaya (PN-Pokok Sena) yang meminta Perdana Menteri menyatakan asas pertimbangan kerajaan meletakkan kos perbelanjaan jemaah haji berdasarkan kategori pendapatan B40, M40 dan T20.

TH meneruskan subsidi haji bersasar pada tahun ini dengan memperkenalkan tiga kategori jemaah iaitu kumpulan B40, M40 dan T20.

Bantuan Kewangan Haji (Hafis) bagi ibadah haji tahun ini hanya diperuntukkan kepada jemaah muassasah dalam kumpulan B40 dan M40 yang pertama kali menunaikan haji sahaja manakala jemaah muassasah dalam kumpulan T20 dikehendaki membayar penuh kos haji tahun ini yang berjumlah RM30,850.