Bekas Gabenor Bank Negara dilantik Ahli Majlis Mara

Asyraf (kiri) menyerahkan watikah pelantikan sebagai Ahli Majlis Mara kepada Muhammad pada Rabu.
Asyraf (kiri) menyerahkan watikah pelantikan sebagai Ahli Majlis Mara kepada Muhammad pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim dilantik sebagai Ahli Majlis, Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa pada Rabu.

Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, watikah pelantikan yang ditandatangani Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah diserahkan kepada Muhammad pada Rabu.

"Saya begitu terharu dan bangga kerana bekas 'boss' saya di Bank Negara ini sudi dan bersedia menerima pelawaan saya minggu lalu untuk membantu di Mara.

"Saya hanya menyebutkan kepada beliau bahawa ini adalah misi ummah yang besar untuk kita sama-sama memartabatkan dan memperkasakan lagi agenda pendidikan, ekonomi, pelaburan dan pembangunan usahawan bumiputera.

"Saya yakin penyertaan beliau dapat memberi nilai tambah yang signifikan kepada Majlis Mara khususnya dalam memastikan keberkesanan aspek tata kelola, tadbir urus, integriti termasuk membantu mencorakkan hala tuju Mara dan institusi-institusi di bawahnya termasuklah aspek tadbir urus dan tata kelola pelaburan di bawah anak-anak syarikat dan subsidiari," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Muhammad adalah tokoh ekonomi dan perbankan yang pernah menjawat jawatan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) ke-8 bagi tahun 2016 hingga 2018.

Memulakan kerjaya di BNM selepas tamat pengajian ijazah sarjana muda perakaunan kelas pertama di Universiti Malaya, kerjaya beliau berkembang di BNM dan terlibat secara langsung di dalam membentuk eko-sistem perbankan moden Malaysia, serantau dan global.

Beliau juga tidak asing di dalam dunia korporat dan pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Petronas, Perbadanan Insuranse Deposit Malaysia (PIDM), Tabung Amanah Nasional serta Pengerusi bagi Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan, Institut Kewangan Asia (AFI), Agensi Akreditasi Kewangan (FAA) dan INCIEF.

Beliau kini memegang jawatan sebagai Pengerusi GDEX Berhad dan Hextar Technology Solutions Berhad dan felo di IIUM Institute of Islamic Banking and Finance (IIiBF).