Dijel lima bulan kerana ugut, cederakan mangsa guna keris

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

BANDAR BARU BANGI - Tindakan seorang bekas jurujual mendatangkan kecederaan terhadap bekas majikan menggunakan keris dan mengugut seorang wanita, membawa padah apabila dia dihukum penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.

Mohd Shabri Ismail, 39, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi.

Bagi kesalahan mendatangkan kecederaan kepada bekas majikan, dia dihukum penjara tiga bulan sementara lima bulan jel untuk kesalahan mengugut.

Nurdiyanah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tangkapan iaitu 18 Mac lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Lee Kar Ming, 46, di Jalan Semenyih, Kawasan Perusahaan Beranang, di sini pada 18 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman pemenjaraan maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menakutkan secara jenayah terhadap Nur Shafeeqah Nawwarah Mohd Nizam, 27, dengan niat menyebabkan rasa bimbang berlaku kematian atau kecederaan ke atasnya dengan mengacukan keris, di lokasi dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dibuat bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, dia turut didakwa atas pertuduhan ketiga, iaitu memiliki dadah berbahaya disyaki jenis 'nimetazepam' dengan anggaran berat 2.55 gram di lokasi dan tarikh serupa.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 12(3) akta sama, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Mei depan untuk laporan kimia.

Pada Isnin, media melaporkan, seorang bekas pekerja sebuah syarikat jualan kenderaan bertindak mengugut dan menjadikan jurujual wanita syarikat itu sebagai tebusan dengan bersenjatakan keris.

Dia didakwa bertindak sedemikian kerana berang, syarikat berkenaan tidak membayar komisen jualan kereta seperti yang dijanjikan.