Kerajaan laksana inventori sumber hutan secara mampan

 Nik Nazmi
Nik Nazmi
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan melaksanakan Inventori Sumber Hutan Nasional ke-6 bagi Semenanjung Malaysia dalam usaha memastikan khazanah hutan negara diuruskan secara mampan.

Menteri Sumber Asli Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pelaksanaan inventori sumber hutan ini dilaksanakan setiap 10 tahun.

Menurutnya, bagi wilayah Sabah dan Sarawak, pelaksanaan inventori sumber hutan buat pertama kalinya turut dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12.

"Bagi mencapai tujuan ini, pelbagai usaha dan program utama telah dianjurkan, antaranya seperti Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok, Program Restorasi, Tebus Guna dan Pemulihan Kawasan Hutan Terosot, Program Penanaman Pokok Bakau.

"Ini termasuklah spesies-spesies yang sesuai di Pesisiran Pantai Negara, Central Forest Spine dan Heart of Borneo yang akan terus diberikan tumpuan oleh Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri bagi memelihara dan memulihara khazanah hutan negara yang tidak ternilai," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, terdapat kawasan hutan yang menerima ancaman seperti krisis melalui kebakaran hutan, serangan makhluk perosak dan pencerobohan yang berleluasa.

"Justeru, tema Hutan dan Kesihatan (Forests and Health) telah dipilih sebagai tema sambutan pada tahun ini di peringkat global bagi menyemai dan meningkatkan kesedaran untuk memelihara serta memulihara kawasan hutan dalam kalangan masyarakat," ujarnya.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, perubahan guna tanah secara tidak mampan serta kesan perubahan iklim turut menyumbang kepada kemunculan penyakit berjangkit baharu.

"Dalam menggunakan hutan secara mampan adalah salah satu cara terbaik untuk kita melindungi alam semula jadi dan diri kita sendiri. Hutan yang sihat boleh membantu mengurangkan kesan negatif kepada kesihatan manusia dan persekitaran serta menjamin kesejahteraan bersama," katanya.