Bayaran insentif menyelam PPDA dinaikkan RM200

Anggota JBPM melakukan demostrasi menyelamatkan mangsa lemas pada Majlis Pelancaran Keselamatan Aktiviti Air (di Pantai Senok pada Ahad.
Anggota JBPM melakukan demostrasi menyelamatkan mangsa lemas pada Majlis Pelancaran Keselamatan Aktiviti Air (di Pantai Senok pada Ahad.
A
A
A

BACHOK - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan kenaikan Bayaran Insentif Menyelam (BIM) sebanyak RM200 kepada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang berkuat kuasa serta merta, kata Menterinya, Nga Kor Ming.

Beliau berkata, sebelum ini sebanyak RM100 bayaran insentif menyelam diberikan bagi memperkasa pasukan penyelam yang berperanan penting dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas.

"Tahun lalu seramai 255 mangsa meninggal dunia akibat lemas direkodkan yang mana terdapat 628 PPDA ditempatkan di 46 balai bomba seluruh negara setakat ini.

"Kementerian menerusi Majlis Keselamatan Aktiviti Di Air (MKAA) sedang berusaha untuk kurangkan kes kemalangan terutamanya kematian di kawasan rekreasi air seperti kawasan air terjun, pantai, cerun bukit, sungai dan bukit," katanya.

Nga Kor Ming (kiri) beramah mesra bersama pasukan bomba cilik pada Majlis Pelancaran Keselamatan Aktiviti Air (MKAA) di Pantai Senok pada Ahad.
Nga Kor Ming (kiri) beramah mesra bersama pasukan bomba cilik pada Majlis Pelancaran Keselamatan Aktiviti Air (MKAA) di Pantai Senok pada Ahad.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran MKAA di Pantai Senok, di sini pada Ahad, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, JBPM Kelantan menerima peruntukan RM2 juta bagi tujuan menyelenggara dan menaik taraf enam balai di negeri itu termasuk Balai Bomba di Kota Bharu, Machang, Rantau Panjang dan Kuala Krai.

"Peruntukan ini bagi memastikan wira merah sentiasa bersiap siaga melaksanakan aktiviti penyelamatan sama ada di air atau kebakaran.

"Hal ini kerana, bomba juga antara agensi yang mendapat perhatian dalam belanjawan 2023 termasuk 100 unit Set Swift Water Rescue untuk kegunaan latihan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia," katanya.

Terdahulu, Kor Ming menyaksikan gimik lakonan JBPM negeri mengenai operasi menyelamat mangsa lemas di laut membabitkan aset JBPM seperti helikopter model AW 109 dan bot Amphibious Rapid Intervention Boat (ARIP) dan Bot Kevlar. - Bernama