Laporan meningkat, bukti masyarakat selesa berurusan - PDRM

Azmi (tiga dari kanan) melakukan gimik pelancaran Program High Profile Policing bersama Ketua Polis Kuala Lumpur, sempena Peringatan Hari Polis Ke-216 Tahun 2023 di Esplanade Kuala Lumpur Convention Centre pada Ahad.
Azmi (tiga dari kanan) melakukan gimik pelancaran Program High Profile Policing bersama Ketua Polis Kuala Lumpur, sempena Peringatan Hari Polis Ke-216 Tahun 2023 di Esplanade Kuala Lumpur Convention Centre pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Laporan dan aduan kes di Wilayah Persekutuan mencatat peningkatan sebanyak 71,000 pada 2022 berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya menerima laporan polis dan aduan kes sebanyak 471,000 pada tahun lalu, berbanding 400,000 pada tahun sebelumnya.

Malah kata beliau, bagi tempoh dua bulan pada tahun ini, jumlah laporan dan aduan yang diterima turut bertambah berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.

"Apa yang boleh saya katakan, masyarakat dan orang ramai kini berasa lebih senang serta selesa untuk membuat aduan kerana yakin dengan kesungguhan polis menyelesaikan permasalahan dihadapi.

"Apabila bilangan laporan dan aduan meningkat, polis perlu mengambil berat tentang perkhidmatan yang akan diberikan pada masa hadapan.

"Oleh sebab itu, pihak polis perlu memberi perhatian dan penekanan terhadap setiap laporan yang dikemukakan oleh orang ramai," katanya kepada pihak media pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Program High Profile Policing bersama Ketua Polis Kuala Lumpur, sempena Peringatan Hari Polis Ke-216 Tahun 2023 di Esplanade Kuala Lumpur Convention Centre, dekat sini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman; Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya dan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun.

Azmi berkata, kesemua laporan dan aduan yang diterima pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur bukan secara di dalam sistem sahaja, sebaliknya turut diperoleh daripada email yang diajukan kepada pihaknya.

Jelasnya, ia membuktikan pengharapan tinggi masyarakat serta orang ramai kepada PDRM untuk membantu menyelesaikan permasalahan dihadapi.

Untuk itu kata beliau, PDRM khususnya di Kuala Lumpur dan Putrajaya meningkatkan prestasi bagi memastikan orang ramai berasa gembira.

"Kita (polis) di Kuala Lumpur mempunyai kekuatan kira-kira 9,200 petugas di 26 buah balai dan sebuah unit trafik.

"Namun kita akan berusaha memberi yang terbaik kepada masyarakat agar keselamatan dan ketenteraman awam dapat dikekalkan," katanya.

Azmi berkata, tiga cabaran besar dihadapi PDRM Kuala Lumpur adalah isu dadah, jenayah dalam talian serta kesesakan lalu lintas.

Beliau berkata, pihaknya berjaya merampas kira-kira 2 tan dadah dengan nilai berjumlah RM122 juta pada 2022, berbanding 2.1 tan dengan nilai rampasan sebanyak RM61.3 juta.

Katanya, meskipun kuantiti rampasan berkurangan, namun harga pasaran dadah semakin meningkat ekoran penguatkuasaan yang semakin ketat.

Namun begitu katanya, terdapat pelbagai cara menjual dadah pada masa ini termasuk secara dalam talian.