Jadi ejen perubahan dalam komuniti bantu wanita - Dr Wan Azizah

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) ketika melancarkan buku Pesona Personaliti sambil diperhatikan oleh Pengerusi Kumpulan Karangkraf yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin (kiri) dan penulis, Muna Izzah Fadzil.
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) ketika melancarkan buku Pesona Personaliti sambil diperhatikan oleh Pengerusi Kumpulan Karangkraf yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin (kiri) dan penulis, Muna Izzah Fadzil.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail menyeru semua pihak memainkan peranan aktif sebagai ejen perubahan dalam komuniti dan masyarakat sebagai usaha membantu golongan wanita mendapatkan bantuan sewajarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata, mereka boleh menyebarkan maklumat dan kesedaran mengenai bantuan-bantuan disediakan terutama membantu golongan wanita antaranya dalam bidang keusahawanan, pencarian kerja, bantuan psikososial, bantuan nasihat undang-undang dan sebagainya.

"Kita mahu pastikan supaya masyarakat terutama wanita mendapat bantuan sewajarnya.

"Apa lebih penting adalah kesedaran ataupun kesediaan setiap individu untuk mendapatkan bantuan lebih-lebih lagi kes melibatkan keselamatan dan nyawa seperti keganasan rumah tangga, penderaan, pengabaian serta kesihatan mental," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku Bertajuk 'Pesona Personaliti' di Dewan Karangkraf di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin.

Isteri Perdana Menteri itu berkata, pelancaran buku berkenaan adalah tepat pada masanya susulan fokus buku berkenaan menjurus kepada aspek-aspek berkait dengan wanita.

Ujarnya lagi, negara ini juga baharu sahaja menyambut Hari Wanita pada 8 Mac lalu dan aspek pembangunan serta pemerkasaan wanita merupakan antara agenda utama.

"Saya yakin kita semua mempunyai hasrat dan tekad sama supaya wanita-wanita Malaysia sentiasa dilindungi, diperkasa dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara, dengan potensi wanita sepenuhnya," ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata, kekuatan personaliti adalah amat diperlukan bagi membolehkan semua pihak membawa diri ke mana sahaja dengan berpegang kepada jati diri masing-masing.

Menurut beliau, contoh-contoh ringkas dan praktikal yang disertakan dalam buku itu boleh dijadikan panduan mengikut kesesuaian konteks dan situasi pembaca nanti.

"Jadi kita memerlukan lebih banyak karya atau naskhah sebegini yang seharusnya mampu membawa pembaca memperbaiki diri ke arah lebih positif," jelasnya.

Justeru, Dr Wan Azizah menggesa lebih banyak penulis perlu tampil ke hadapan dan mengetengahkan karya-karya berkualiti yang mampu mendidik serta memupuk nilai-nilai murni kepada masyarakat di luar sana.

Beliau turut menyeru semua pihak agar kembali menerapkan budaya membaca dan menghargai ilmu terutama dalam kalangan ahli keluarga selain menggunakan kelebihan teknologi untuk membaca serta mendapatkan maklumat yang bermanfaat.