Skim Rondaan Sukarela kurangkan kadar jenayah

Mit (kiri) disaksikan Abd Hadi menandatangani plak Pusat Rukun Tetangga KRT Mukim Dusun Rendah bagi merasmikan Program Gerak Rahmah 2023 Jom Ronda SRS Peringkat Negeri Kelantan malam Sabtu.
Mit (kiri) disaksikan Abd Hadi menandatangani plak Pusat Rukun Tetangga KRT Mukim Dusun Rendah bagi merasmikan Program Gerak Rahmah 2023 Jom Ronda SRS Peringkat Negeri Kelantan malam Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) masih menerima permohonan daripada komuniti untuk penubuhan Skim Rondaan Sukarela (SRS) selepas 19 tahun diperkenalkan dalam masyarakat.

Pengarah Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional, Abd Hadi Mohd Salleh berkata, permintaan itu membuktikan keberkesanan dan kejayaan SRS meningkatkan rasa selamat penduduk selain boleh mengurangkan kadar jenayah setempat.

Menurut beliau, sehingga kini sebanyak 5,357 SRS di seluruh negara.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kira-kira tiga tahun lalu, rondaan dan kawalan diperlahankan bagi membendung penularan pandemik Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita melalui Sesi Dialog Bersama Agensi sempena Program Gerak Rahmah 2023 Jom Ronda SRS Peringkat Negeri Kelantan di sini malam Sabtu.

Program dirasmikan oleh Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Asisten Komisioner Mit Emong.

Bagaimanapun Abd Hadi memberitahu, masyarakat perlu menyokong inisiatif kementerian dan jabatan untuk mengaktifkan semula program itu.

Tambah beliau, kajian pada tahun 2016 menunjukkan SRS memainkan peranan penting membantu meningkatkan keselamatan terutama di kawasan perumahan.

"Pada masa sama, program ini menyumbang kepada integrasi etnik, pemahaman budaya dan agama, sikap ambil peduli serta kesepaduan sosial," katanya.