'Anak terpaksa bergilir ke sekolah'

A
A
A

PASIR MAS - Pasangan suami isteri dari Kampung Serongga di sini tidak menyangka banjir yang melanda pada Disember tahun lalu mengubah kehidupan mereka.

Mohamad Shauti Zakaria, 41, dan isteri, Kalmilah Che Hussin, 38, berdepan masalah kewangan selepas rumah dinaiki air setinggi hampir dua meter yang turut mengakibatkan barangan perniagaan kecil-kecilan mereka turut musnah.

Lebih menyedihkan apabila Shauti yang menghidap penyakit kencing manis tahap empat kini tidak dapat melakukan kerja-kerja berat manakala Kalmilah pula diuji patah kaki selepas terjatuh ketika banjir Disember lalu.

Kalmilah (belakang, kiri) bersyukur menerima sumbangan pakaian sekolah anak-anak daripada Kelab Waja Malaysia Kelantan.
Kalmilah (belakang, kiri) bersyukur menerima sumbangan pakaian sekolah anak-anak daripada Kelab Waja Malaysia Kelantan.

Kalmilah berkata, suaminya masih berusaha berulang-alik menoreh getah dalam keadaan menahan kesakitan selain terpaksa berjimat menggunakan jarum suntikan insulin.

"Pendapatan sebanyak RM200 dalam masa 15 hari memang tidak mencukupi untuk perbelanjaan kami sekeluarga," katanya kepada pemberita ketika lawatan Kelab Waja Malaysia Kelantan di rumahnya pada Jumaat.

Menurut Kalmilah, mereka seboleh mungkin akan berjimat bagi tujuan persekolahan anak selain untuk pembelian jarum suntikan suami sebanyak RM300 sebulan.

Ibu kepada empat anak berusia antara setahun setengah hingga 12 tahun itu juga tidak dapat meneruskan rawatan kakinya kerana tidak mampu membayar kos perubatan.

"Doktor ada menasihatkan saya meneruskan rawatan dan pembedahan tetapi memikirkan masalah kewangan, saya tidak mahu meneruskannya.

"Saya hanya berubat secara tradisional selepas keadaan kaki kini membengkak dari buku lali hingga ke pangkal paha," ujarnya.

Menurutnya, dia juga buntu apabila memikirkan untuk membayar yuran sekolah tiga anaknya selain dua daripada mereka terpaksa bergilir-gilir ke sekolah kerana tiada wang perbelanjaan.

"Mujur kami dibantu keluarga serta adik-beradik yang menghulurkan sumbangan mengikut kemampuan kerana mereka juga ada komitmen lain," katanya.

Kalmilah juga bimbang memikirkan tunggakan pinjaman bank selama tiga bulan.

"Pinjaman RM10,000 tahun lalu itu sebenarnya untuk menambah barangan runcit di kedai kami namun siapa tahu musibah yang berlaku menyebabkan perniagan kecil-kecillan kami tidak dapat diteruskan," katanya.

Mohd Irwan (kanan) menyampaikan sumbangan makanan harian kepada Mohd Shauti.
Mohd Irwan (kanan) menyampaikan sumbangan makanan harian kepada Mohd Shauti.

Sementara itu, Ketua Zon Kelab Waja Malaysia Kelantan, Mohd Irwan Ismail berkata, seramai 30 ahli kelab itu mengunjungi keluarga Kalmilah dan membawa peralatan persekolahan serta keperluan harian sebagai sumbangan kepada keluarga itu.

"Kita mendoakan ramai lagi yang akan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka terutama sempena sambutan Ramadan," katanya.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan juga boleh berbuat demikian boleh menghubungi Kalmilah di talian 0147839357 atau melaui nombor akaun 031000444911350100014 (Bank Simpanan Nasional) atas nama Mohamad Shauti.