'Mungkin menteri sibuk', GTSM gesa bincang tingkat mutu teksi

GTSM gesa Kementerian Pengangkutan buka pintu rundingan bagi tambah baik mutu perkhidmatan teksi negara. - Gambar hiasan
GTSM gesa Kementerian Pengangkutan buka pintu rundingan bagi tambah baik mutu perkhidmatan teksi negara. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Teksi Malaysia (GTSM) menggesa Kementerian Pengangkutan (MOT) supaya membuka pintu rundingan dengan pemain industri itu bagi menambah baik mutu perkhidmatan teksi negara.

Yang Dipertuanya, Kamarudin Hussain berkata, dengan adanya sesi libat urus dengan pihak pemegang taruh secara tidak langsung mampu mencari penyelesaian terbaik berhubung masalah melibatkan industri berkenaan terutamanya pemandu teksi.

Jelas Kamarudin, pihaknya dalam masa sama turut menyambut baik cadangan MOT untuk membuka semula permohonan lesen teksi dan kereta sewa kepada syarikat.

Bagaimanapun katanya, perkara tersebut seharusnya dibincangkan secara menyeluruh terlebih dahulu.

"Kami sedikit kecewa dengan sikap Yang Berhormat Menteri Pengangkutan (Anthony Loke) yang sehingga ke hari ini masih mengamalkan sikap tidak mahu membuka pintu rundingan dengan pihak kami sekali pun kami telah berkali-kali menghantar surat kepada beliau untuk mengadakan sesi perbincangan untuk menambah baik mutu perkhidmatan teksi negara.

"Walau bagaimanapun kami masih berfikiran positif dan menganggap Yang Berhormat Menteri terlalu sibuk," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Minggu lalu, Anthony dilaporkan berkata, kerajaan berhasrat membuka semula permohonan lesen teksi dan kereta sewa kepada syarikat dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam.

Beliau berkata, tujuannya juga untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka yang tidak mampu membeli kenderaan sendiri.

Kamarudin
Kamarudin

Sementara itu, Kamarudin dalam masa sama turut menjelaskan isu penjajahan moden dan penindasan pemandu yang masih belaku sehingga ke hari ini diyakini akan berterusan.

"Selain itu, kami yakin cadangan pemberian permit teksi kepada syarikat bukan sahaja tidak akan mendapat sambutan oleh pihak syarikat, bahkan ia akan gagal sepenuhnya jika Yang Berhormat Menteri dan Kementerian tidak bersungguh-sungguh menyelesaikan isu yang melibatkan kebajikan pemandu teksi," katanya.

Justeru katanya, keputusan kini terletak sepenuhnya kepada kementerian khususnya menteri terlibat untuk benar-benar menyelesaikan permasalahan industri teksi yang telah berlanjutan sejak sekian lama.

"Keputusan (terletak) di tangan Yang Berhormat Menteri, apakah benar-benar ingin memelihara industri teksi atau sebaliknya.

"Namun, jika Yang Berhormat Menteri benar-benar ingin memelihara dan memajukan industri teksi, kami sedia memberi kerjasama dan membantu," katanya.