320,000 pelajar B40 layak nikmati Menu Siswa Rahmah RM3.50

Seramai 320,000 pelajar dalam kumpulan B40 menerima inisiatif Menu Siswa Rahmah yang dijual pada harga RM3.50. - Foto Astro AWANI
Seramai 320,000 pelajar dalam kumpulan B40 menerima inisiatif Menu Siswa Rahmah yang dijual pada harga RM3.50. - Foto Astro AWANI
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pengajian Tinggi memperkenalkan inisiatif Menu Siswa Rahmah yang dijual dengan harga RM3.50 di 20 institut pengajian tinggi awam (IPTA) termasuk politeknik di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, seramai 320,000 pelajar dalam kumpulan berpendapatan isi rumah terendah (B40) menerima manfaat berkenaan.

Menurut laporan Astro AWANI, Mohamed Khaled berkata, harga serendah RM3.50 itu boleh ditawarkan kerana pihak IPTA menyerap sebahagian kos dengan memberikan pengecualian sewa premis kepada 236 gerai yang terlibat dengan program berkenaan.

“Apabila sewa tidak dikenakan, secara tidak langsung dapat mengurangkan harga makanan dan boleh dijual kepada pelajar B40 dengan kadar bayaran yang rendah.

“Secara keseluruhan, kos penyewaan gerai itu membabitkan jumlah sebanyak RM3 juta setahun di IPTA, manakala RM700,000 di politeknik,” katanya selepas meninjau pelaksanaan Menu Siswa Rahmah di Kafeteria Randau Rasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Jelas beliau, perlaksanaan inisiatif berkenaan adalah untuk membezakan di antara Menu Siswa Rahmah dan Menu Rahmah yang ditawarkan pada harga RM5.

Pada masa sama, Mohamad Khaled berkata, hanya pelajar daripada kumpulan B40 yang telah dikenal pasti, akan dibekalkan token untuk menikmati menu tersebut.

“Daripada jumlah keseluruhan yang layak untuk menerima inisiatif ini, seramai 11,000 pelajar B40 adalah di UKM.

“Dalam universiti awam, pelajar-pelajar luar negara tidak ramai tetapi ‘postgraduate’ 857 memang ramai, namun kebanyakan mereka ada menerima biasiswa,” ujarnya.

Mohamad Khaled menjelaskan, pelajar yang menerima bantuan pembiayaan pengajian tidak layak untuk menikmati Menu Siswa Rahmah.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa Menu Rahmah ada disediakan di IPTA dan ia boleh dinikmati oleh sesiapa sahaja.

Inisiatif Menu Siswa Rahmah itu juga merupakan projek perintis yang turut diusahakan oleh Desatera Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan Brahim's Dewina dan UKM.