Banjir: Lantik imam, bilal solat fardu ketika Ramadan

Nooh
Nooh
A
A
A

JOHOR BAHRU – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) perlu mengaturkan pelantikan imam dan bilal untuk solat fardu termasuk solat tarawih di kesemua pusat pemindahan sementara (PPS), sekiranya masih ada mangsa banjir yang ditempatkan di situ pada bulan Ramadan kelak.

Menurut penasihat MAINJ, Datuk Dr Nooh Gadot, perkara sedemikian pernah dilaksanakan pada 2006 dan ada dalam kalangan mangsa banjir yang berjaya khatam al-Quran di PPS yang didudukinya.

“Kita (MAINJ) telah bermesyuarat, jika masih ada mangsa (banjir) di PPS ketika Ramadan nanti, hendaklah diaturkan untuk lantik imam, bilal untuk solat fardu dan tarawih.

“Selain itu, PPS itu juga akan ada kuliah, solat dhuha, ada baca al-Quran, berselawat dan sebagainya di tempat itu (PPS)... jadi tak sunyilah.

“Ada hikmahnya banjir ni, boleh khatam di sana (PPS), selawat, ada semua,” katanya.

Nooh berkata demikian pada sidang media sempena pengumuman Kadar Zakat Fitrah bagi tahun 1444H/2023M oleh Exco Hal Ehwal Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khaliddi sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Ismail Abu.

Sementara itu, Ismail berkata, peningkatan kadar zakat fitrah kali ini adalah hasil daripada maklumat yang diperoleh bahawa rakyat di negeri ini kebanyakannya makan beras jenis ‘super’ tempatan seperti beras wangi, basmathi dan sebagainya.

Justeru katanya, selaras kenaikan harga bagi beras super di pasaran ketika ini, diputuskan bahawa kadar zakat fitrah dinaikkan sedikit kali ini.

“Dulu kadar zakat fitrah bagi negeri Johor adalah RM7 dan RM10, tetapi hasil kajian daripada jabatan padi dan beras negeri Johor, didapati kebanyakan rakyat di negeri ini makan beras basmathi.

“Jadi, dengan kenaikan harga beras basmathi di pasaran, sebab itulah berlaku sedikit kenaikan bagi kadar zakat fitrah,” katanya.