Tekad Pakar bantu SPRM didik masyarakat

Azam (kiri) bersama (dari kanan) Razim dan Shamshun pada majlis pelancaran dan mesyuarat agung Pakar yang diadakan di ibu pejabat SPRM pada Rabu.
Azam (kiri) bersama (dari kanan) Razim dan Shamshun pada majlis pelancaran dan mesyuarat agung Pakar yang diadakan di ibu pejabat SPRM pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Penubuhan Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (Pakar) bertujuan membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendidik masyarakat tentang bahaya rasuah.

Presiden Pakar, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, matlamat utama adalah membudayakan orang ramai untuk membenci perbuatan rasuah, seterusnya membantu SPRM meningkatkan tahap kesedaran tinggi dalam masyarakat.

Beliau berkata, kehadiran Pakar akan membantu SPRM melaksanakan tugas mendidik dan membentuk masyarakat yang mempunyai integriti tinggi.

"Kita sedia maklum bahawa berlaku kekangan tenaga kerja di SPRM apabila jumlah mereka tidak ramai.

"Mengambil kira mereka (SPRM) yang terlibat dalam sektor pencegahan sahaja, jumlah itu melibatkan hanya sekitar 300 orang sahaja.

"Sekiranya jumlah itu dibandingkan dengan perkhidmatan awam, ratio adalah bersamaan dengan 0.01 peratus yang melakukan tugas-tugas pencegahan," katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Mesyuarat Agung Pakar yang diadakan di ibu pejabat SPRM.

Majlis pelancaran dirasmikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Hadir sama Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Razim Mohd Noor.

Azam (tengah) bergambar kenangan bersama ahli dan pemimpin Pakar.
Azam (tengah) bergambar kenangan bersama ahli dan pemimpin Pakar.

Mengulas lanjut, Shamshun berkata, ekoran daripada kekangan jumlah petugas SPRM, diharap kehadiran Pakar akan sedikit sebanyak membantu suruhanjaya menyebar luas maklumat dan mendekati masyarakat agar tidak terjebak dengan rasuah.

Selain itu kata beliau, Pakar akan turut bertindak memberi kefahaman jelas tentang SPRM kepada masyarakat kerana masih banyak yang faham tentang peranan serta tugas suruhanjaya itu.

"Masyarakat melihat SPRM boleh melakukan semuanya, sedangkan agensi penguatkuasaan ini menjalankan siasatan sahaja.

"Tugas menuduh atau tidak menuduh itu terletak pada kuasa Jabatan Peguam Negara.

"Oleh sebab itu, kehadiran Pakar adalah membantu sebar maklumat kepada masyarakat untuk faham tentang fungsi sebenar SPRM," katanya.

Sehubungan itu kata beliau, Pakar akan dikembangkan di seluruh negara termasuk membuka cawangan-cawangan di peringkat negeri.

Katanya, keahlian Pakar terbuka kepada seluruh lapisan masyarakat yang ikhlas berjuang memerangi amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Namun begitu menurutnya, jawatan tertinggi Pakar pusat melibatkan jawatan Presiden, Timbalan Presiden serta Naib Presiden harus diisi oleh mereka yang terdiri daripada bekas pegawai tertinggi SPRM sebelum ini.

Ini kerana jelasnya, ia bertujuan memastikan Pakar mencapai matlamat dan objektif penubuhannya.

Sementara itu tegas beliau, Pakar sama sekali tidak akan bertindak sebagai 'pressure group', sebaliknya membantu menjayakan usaha kerajaan memerangi rasuah.

"Kita mahu menjadikan Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai integriti tinggi, bukannya kerana banyaknya rasuah atau amalan salah guna kuasa," katanya.