Hussin dipilih sebagai senator baharu

Hussin Ismail
Hussin Ismail
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Rabu meluluskan pelantikan pengasas dan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Hussin Ismail, 68, sebagai Ahli Dewan Negara bagi mewakili negeri ini.

Pelantikan Hussin yang merupakan Pengerusi Tetap Pas Pusat dan Timbalan Ketua Lujnah Dakwah Pas Pusat dibuat bagi mengisi kekosongan jawatan berkenaan.

Cadangan pemilihan bapa kepada sembilan cahaya mata berasal dari Kampung Tebakang, Bukit Payong, Marang dibuat Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ia susulan Speaker DUN Terengganu, Datuk Yahaya Ali mengumumkan usul Pemilihan Ahli Dewan Negara baharu selepas terdapat kekosongan jawatan berkenaan.

Hussin yang mendapat pendidikan Diploma dalam Sains dan Pendidikan di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) merupakan seorang individu aktif dalam pelbagai bidang termasuk korporat, pendidikan, politik dan badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau adalah pengasas kepada rangkaian sekolah tahfiz fast track Akademi Al-Quran Amalillah dan pengasas Ahli Majlis Perunding Pusat Dakwah Serantau.

Anak kepada pasangan guru agama dan guru Al-Quran itu juga pernah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu pada tahun 2020.

Sementara itu Ahmad Samsuri berkata, pemilihan Hussin dibuat berdasarkan pengalaman luas dalam pentadbiran dan politik yang ada pada diri Ahli Amal Islami Council Malaysia itu.

"Kita harap beliau dapat membawa agenda pembangunan dan kebajikan rakyat Terengganu ke Dewan Negara," katanya.