Kebanyakan mangsa penipuan pekerjaan dari kawasan pedalaman

Shamsul Anuar ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
Shamsul Anuar ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kebanyakan mangsa yang terjebak dengan sindiket penipuan pekerjaan di luar negara berasal dari kawasan pedalaman dan luar bandar, Dewan Rakyat diberitahu pada Selasa.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, mereka didekati sindiket terlibat menerusi berbagai kaedah termasuk iklan tawaran pekerjaan di laman media sosial dan diperdaya oleh kenalan baharu di medium sama.

"Antara jawatan yang ditawarkan oleh sindiket bagi mengaburi mata mangsa ialah pekerjaan sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan di syarikat pelaburan atau di kasino berlesen, bekerja di tempat-tempat peranginan, jurubahasa, pegawai pemasaran dan sebagainya.

"Apabila mereka (mangsa) sampai di negara destinasi berkenaan, kebanyakan mereka dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ iaitu penipuan dalam talian untuk pelaburan yang tidak wujud dan sebagainya,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang ingin tahu modus operandi sindiket dan golongan yang menjadi sasaran sindiket untuk direkrut.

Shamsul Anuar berkata, maklumat diperoleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa sesi libat urus dengan negara destinasi dan penyiasatan bersama mangsa turut mendedahkan terdapat beberapa kategori mangsa yang terlibat dalam kes penipuan itu.

Beliau berkata, antaranya ada dalam kalangan mereka hanya menyedari ditipu apabila sudah sampai ke negara berkenaan dan ada juga yang sudah mengetahui pekerjaan mereka sebagai scammer, namun apabila tidak mencapai sasaran yang dikehendaki oleh pihak berkenaan, mereka berhadapan perkara di luar jangkaan.

Shamsul Anuar turut mendedahkan ada dalam kalangan mangsa telah berjaya dibawa balik oleh PDRM tetapi pergi semula ke negara berkenaan dan selepas itu meminta sekali lagi untuk diselamatkan.

"Jadi kita nasihatkan rakyat Malaysia yang menerima tawaran pekerjaan di luar negara supaya mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan pekerjaan tempatan terlebih dahulu bagi memastikan mereka mengetahui akan pekerjaan yang sah,” katanya.

Beliau berkata antara perkara penting yang perlu ada untuk urusan pengambilan pekerja asing ialah berkaitan visa pekerja serta kontrak kerja dan orang ramai boleh merujuk perkara itu dengan kedutaan serta konsulat Malaysia di negara berkenaan terlebih dahulu. - Bernama