'Beri kami peluang berniaga di Bazar Pechong'

Peniaga berharap dibeli peluang untuk berniaga di Bazar Pechong yang sudah dinaik taraf. Gambar kecil: Noor Jahan (kiri),Mohd Aznan dan Normariana.
Peniaga berharap dibeli peluang untuk berniaga di Bazar Pechong yang sudah dinaik taraf. Gambar kecil: Noor Jahan (kiri),Mohd Aznan dan Normariana.
A
A
A

TANAH MERAH - Peniaga di Bazar Pechong, Tanah Merah berharap mereka masih diberi peluang untuk kembali berniaga dalam bangunan itu.

Bazar berkenaan dikatakan menjadi sumber rezeki mereka kerana ada yang sudah lebih sepuluh tahun berniaga untuk membesarkan anak-anak dan mengubah nasib keluarga.

Peniaga kedai Roti Canai Abe Mi, Noor Jahan Mohamad Shariff, 61, berkongsi kegembiraannya berniaga di bazar itu kerana ramai pelanggan sudah mengenalinya.

"Saya berniaga di sini sejak tahun 2008 lagi dengan sewa RM120 sebulan," katanya,

Bagaimanapun dia yang juga seorang ibu tunggal mendakwa, perniagaannya terhenti kerana bazar itu perlu dinaik taraf untuk keselesaan pengunjung.

"Selepas setahun naik taraf, peniaga dimaklumkan pihak berkuasa tempatan membuat keputusan peniaga tidak dapat meneruskan perniagaan di sini hasil mesyuarat mereka," katanya ketika ditemui di bazar itu pada Ahad.

Noor Jahan yang menaruh sepenuh harapan untuk kembali berniaga di Bazar Pechong kerana mampu menambah pendapatan untuk perbelanjaan keluarga.

Seorang lagi ibu tunggal, Noraishah Ismail yang membuka kedai Noor'A Char Kuetiau di situ terpaksa bekerja di kilang di Pulau Pinang buat sementara sehingga bazar itu siap dinaik taraf.

"Saya terkejut apabila dimaklumkan kesemua peniaga asal tidak dapat meneruskan perniagaan tetapi kami semua masih berharap untuk mencari rezeki di situ," katanya.

Dia terpaksa berusaha meneruskan perniagaan di beberapa tempat sebelum bekerja kilang kerana tanggungjawabnya terhadap empat anak berusia sepuluh hingga 17 tahun selain menjaga ibunya yang sudah tua.

Peniaga itu turut memberitahu sedia menyambung perniagaan jika pihak pengurusan menaikkan kadar sewa antara RM300 hingga RM400 yang mungkin berdepan tidak banyak keuntungan.

"Saya tidak tahu lagi di mana mahu berniaga kerana selama ini pelanggan sudah kenal. Lagipun char kue tiau lebih enak dimakan bungkus dan perlu tempat duduk untuk pelanggan," katanya.

Rakannya, Normariana Abd Rahman, 50, yang berniaga nasi berlauk turut berharap perkara sama.

Dia yang juga ibu tunggal terpaksa memikirkan perbelanjaan keluarga berikutan kos kehidupan kini semakin tinggi.

"Saya tinggal menyewa bersama tiga anak berusia antara 17 hingga 22 tahun. Banyak perkara perlu diambil kira termasuk perbelanjaan harian," katanya.

Sementara itu, peniaga Nasi 4 Nan Cafe, Mohd Aznan Mat Yatim, 45, selesa berniaga di Bazar Pechong dan dapat membesarkan anak-anak selama 13 tahun berniaga di situ.

Katanya, pendapatan antara RR700 hingga RM800 sebulan sudah cukup untuk kami penduduk tempatan berbelanja dan menjaga keluarga.

"Saya sangat berharap bazar ini disewakan kembali kepada kami yang masih perlu meneruskan perniagaan kerana sudah dikenali pelanggan," katanya.