Hanya 1 kedai mamak di NS ada sijil halal

Mohd Zaidi berkunjung di Restoran Nasi Kandar Pelita, Seremban Gateway, tadi
Mohd Zaidi berkunjung di Restoran Nasi Kandar Pelita, Seremban Gateway, tadi
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) hari ini mengesahkan hanya satu daripada 150 kedai mamak yang beroperasi di negeri ini mempunyai sijil halal Malaysia.

Bagaimanapun, Pengarahnya, Mohd Zaidi Ramli berkata, pihaknya tidak menghalang jika ada pelanggan yang mahu ke restoran terbabit berikutan kedai mamak diminati ramai.

"Hanya satu sahaja yang ada sijil halal Malaysia dan ada sebuah lagi sedang proses permohonan. Pemilikan sijil halal ini penting bagi memastikan kualiti penyediaan makanan termasuk kandungan dalam makanan digunakan itu adalah bersih, selamat dan yang penting mengikut syarak.

"Saya tidak kata yang tiada sijil halal itu menggunakan barang-barang haram, tetapi dari segi penyediaan makanan, kualiti kebersihan premis serta bahan apa yang mereka gunakan dalam masakan, kita tidak tahu kerana mereka ini tidak diaudit, berbanding yang ada sijil halal mereka ini sentiasa dipantau dan diaudit penggunaan bahan-bahan masakan, termasuk kebersihan premis," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kempen Cakna Halal: Moh Poie Restoran Halal yang turut Turut hadir, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad di Restoran Nasi Kandar Pelita, Seremban Gateway di sini, hari ini.

Mohd Zaidi pada sidang media, tadi.
Mohd Zaidi pada sidang media, tadi.

Dalam pada itu, Zaidi juga menyarankan semua restoran makanan termasuk restoran Melayu yang beroperasi di negeri ini mendapatkan sijil halal bagi mengelakkan keraguan pengunjung.

"Walaupun restoran Melayu ini tidak memiliki sijil halal, tetapi kita sudah tahu bahawa mereka ini pasti orang Islam, dan penyediaan makanan juga Insya-ALLAH berlandaskan syarak.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi untuk menguatkan lagi kualiti jaminan penyediaan makanan dan kebersihan makanan, kita harap semua restoran makanan buat permohonan sijil halal," katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh empat bulan pertama tahun ini, sebanyak lima aduan diterima jabatan berkenaan mengenai keraguan persijilan halal.

Pemantauan bersama agensi kerajaan yang lain akan dilakukan dari semasa ke semasa untuk memastikan premis makanan di negeri ini mempunyai sijil halal, selain meningkatkan kesedaran kepada pengusaha makanan untuk mendapatkan sijil halal Malaysia yang sah.