KSM yakin kos pekerja domestik Indonesia dapat dikurangkan

Setakat 22 Januari lepas, terdapat 399,827 warga Indonesia bekerja di Malaysia dalam sektor perkilangan, pembinaan, perladangan, perkhidmatan, pertanian, pembantu rumah asing, perlombongan dan pengkuarian.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
Setakat 22 Januari lepas, terdapat 399,827 warga Indonesia bekerja di Malaysia dalam sektor perkilangan, pembinaan, perladangan, perkhidmatan, pertanian, pembantu rumah asing, perlombongan dan pengkuarian.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
A
A
A

GEORGE TOWN - Kementerian Sumber Manusia (KSM) yakin kos pengambilan pekerja domestik Indonesia akan dapat dikurangkan selepas beberapa rundingan pada bulan ini.

Menterinya, V.Sivakumar berkata, berapa rundingan dan mesyuarat telah diadakan antara wakil kedua-dua negara termasuk Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama Malaysia-Indonesia untuk menyelesaikan isu ini.

Menurutnya, Menteri Ketenagakerjaan Indonesia akan melawat negara pada pertengahan bulan ini dan perjumpaan akan diadakan untuk meneliti isu ini.

"Adalah menjadi hasrat kerajaan untuk mengurangkan kos pengambilan pekerja domestik dari Indonesia. Jadi saya yakin satu keputusan akan dapat dicapai hujung Mac ini berhubung hal kos ini.

"Perkara yang sama juga telah dibincangkan dalam lawatan Perdana Menteri dan lawatan Kementerian Dalam Negeri ke Indonesia baru-baru ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Bersama Pelanggan KSM di sini pada Ahad.

Jelasnya, ketika ini kos pengambilan pekerja domestik Indonesia adalah dalam sekitar RM15,000 dan kos ini berlaku kerana sebahagian besar kos itu merupakan kos di negara sumber sendiri.

"Kita lihat mereka akan ada "multilevel recruitment"...contohnya, pekerja domestik itu dibawa daripada satu kawasan pedalaman dan mungkin melalui beberapa agensi sebelum tiba di negara kita, jadi kos itu akan meningkat," katanya.

Setakat 22 Januari lepas, terdapat 399,827 warga Indonesia bekerja di Malaysia dalam sektor perkilangan, pembinaan, perladangan, perkhidmatan, pertanian, pembantu rumah asing, perlombongan dan pengkuarian.

Daripada jumlah itu 63,323 bekerja sebagai pembantu rumah asing (PRA) dan warga Indonesia mewakili jumlah terbesar dalam sektor domestik di Malaysia.

Terdahulu Sivakumar telah mengumumkan bahawa persidangan "National Human Capital Conference and Exhibition 2023" Wilayah Utara akan diadakan di Pulau Pinang pada 31 Mei hingga 1 Jun.

Beliau berkata, persidangan itu akan menghimpunkan lebih 20 penceramah dan 50 pempamer pelbagai industri dan dijangkan akan menarik lebih 1,000 delegasi dari wilayah utara. - Bernama