Mangsa banjir di Johor meningkat sedikit pagi ini

Mangsa banjir di Johor menunjukkan sedikit peningkatan pada pagi Ahad. - Foto Facebook Polis Daerah Batu Pahat
Mangsa banjir di Johor menunjukkan sedikit peningkatan pada pagi Ahad. - Foto Facebook Polis Daerah Batu Pahat
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di Johor menunjukkan sedikit peningkatan apabila mencatatkan seramai 42,638 mangsa daripada 12,049 keluarga setakat jam 8 pagi, Ahad.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani, peningkatan tersebut turut menyaksikan satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

“Setakat jam 8 pagi Ahad, jumlah mangsa banjir menunjukkan sedikit peningkatan apabila mencatatkan seramai 42,638 mangsa berbanding 42,477 mangsa yang dilaporkan pada 4 pagi.

“Satu lagi PPS dibuka menjadikan sebanyak 155 PPS yang beroperasi bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir di empat daerah iaitu Batu Pahat, Muar, Tangkak dan Segamat.

“Daripada kesemua daerah tersebut, Batu Pahat masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 39,870 mangsa daripada 11,128 keluarga yang ditempatkan di 115 PPS ketika ini,” katanya.

Selain Batu Pahat, daerah Muar mencatatkan 1,457 mangsa di 16 PPS, Tangkak (949 mangsa di 10 PPS) dan Segamat (362 mangsa di 14 PPS).

Setakat ini, sebanyak lima kematian turut direkodkan dengan satu kes ditenggelami arus banjir di Kluang pada 1 Mac lalu, tiga kes mati lemas di Segamat (2 Mac) dan satu kes mati lemas di Mersing (6 Mac).

Sementara itu, Azmi berkata, berdasarkan laporan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), tiada amaran ribut petir dan hujan berterusan diramalkan berlaku di Johor.

Katanya, berdasarkan pemantauan cuaca, kesemua 10 daerah di negeri ini dilaporkan cerah setakat jam 8 pagi ini.

“Selain itu 18 jalan utama di Batu Pahat, Kluang, Kulai, Mersing, Muar, Tangkak dan Segamat ditutup untuk semua kenderaan kerana dinaiki air.

“Bagaimanapun, sembilan jalan telah dibuka untuk laluan kenderaan berat,” katanya.