Majoriti pengguna tak setuju pencarum buat pinjaman

Undian yang dilakukan di laman media sosial Sinar Harian.
Undian yang dilakukan di laman media sosial Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Rata-rata pengguna Twitter tidak bersetuju dengan cadangan supaya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mewujudkan skim pinjaman khas untuk ahlinya bagi menyelesaikan masalah kewangan mereka.

Berdasarkan undian di laman Twitter Sinar Harian setakat jam 6 petang Sabtu mendapati 59 peratus daripada 300 mereka yang mengundi kurang bersetuju dengan pelaksanaan itu, manakala 41 peratus lagi bersetuju.

Seorang pengguna Twitter, @Jibby berkata, pelaksanaan pinjaman khas itu perlu diperjelas kaedahnya secara terperinci.

“Kerajaan perlu beri perincian berkenaan kadar faedah yang akan dikenakan.

"Kalau kadar faedah tinggi seperti pinjaman bank yang biasa, itu tidak membantu rakyat yang memerlukan wang untuk membina semula kehidupan mereka,”ujarnya.

Selain itu, @Farzana berpendapat, pinjaman khas tersebut boleh membantu mereka yang benar-benar terkesan untuk melangsaikan hutang sedia ada dengan kadar faedah yang rendah.

“Boleh bantu mereka yang sangat terkesan. Kerajaan perlu memperhalusi sebab dan tujuan pinjaman misalnya menampung hutang rumah yang bakal dilelong dengan kadar pembayaran balik yang rendah,” jelasnya.

Ada juga yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Pengguna, @C.Vinodini Chandragason berpendapat cadangan berkenaan tidak membantu rakyat.

“Idea ini tidak bernas sekali. Ia membebankan rakyat dan bukannya membantu.

"Pakar formula perlu fikirkan apa yang terbaik untuk rakyat dan bukan memberi keuntungan kepada pihak bank sahaja,” ujarnya.

Pengguna, @Norazmi Shamsudin pula mempersoalkan mengapa pengurusan KWSP menghalang pengeluaran wang kepada pencarum yang memerlukan.

“Duit sendiri kenapa perlu pinjam? Kenapa perlu bayar kepada KWSP?

"KWSP hanya menguruskan dan beri kepada mereka yang ingin lakukan pengeluaran,” katanya.