Saintis pertama negara jalani penyelidikan di Antartika

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor (kiri) menyampaikan bendera Sabah kepada Dr Justin ketika mengadakan kunjungan terhadap Ketua Menteri Sabah hari ini. - Foto Bernama
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor (kiri) menyampaikan bendera Sabah kepada Dr Justin ketika mengadakan kunjungan terhadap Ketua Menteri Sabah hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang penyelidik dari Sabah, Prof Dr Justin Sentian, menjadi saintis negara pertama melaksanakan penyelidikan musim sejuk di Antartika.

Mengucapkan tahniah kepada saintis kelahiran Ranau itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Justin berjaya mengharumkan nama Sabah dengan mengibarkan bendera negeri ini bersama-sama Jalur Gemilang sepanjang tempoh program penyelidikan selama enam bulan bermula 15 Mac ini di Stesen Pangkalan Profesor Julio Escudero di Pulau King George, Antartika.

Beliau berkata, saintis atmosfera kutub dari Fakulti Sains dan Sumber Alam, Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan menjalankan penyelidikannya bertajuk 'Variasi Ozon Troposfera dan Halokarbon di Semenanjung Antartika Dalam Keadaan Cuaca Melampau'.

"Antartik adalah titik yang baik dan tepat untuk memerhatikan perubahan iklim antara lain. Penemuan perubahan kecil variasi di sana dalam keadaan awal boleh membawa kepada variasi berskala besar kepada dunia.

"Kami mengucapkan selamat maju jaya untuk setiap usaha beliau,” katanya dalam kenyataan selepas menyerahkan bendera Sabah kepada Justin di Menara Kinabalu, di sini.

"Saya berbangga untuk berkongsi peluang hebat ini sebagai saintis Malaysia pertama untuk membawa bendera kita ke Antartika.

"Saya harap usaha ini akan memberi suntikan motivasi kepada penyelidik lain, khususnya generasi muda di Sabah untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam semua bidang khususnya sains," katanya.

Haiji berkata penyelidikan Justin mendapat kerjasama daripada Universiti Santiago, Chile, dengan sebahagiannya dibiayai oleh geran penyelidikan daripada Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) selama tiga tahun bermula tahun ini.

Kerjasama penyelidikan dengan Universiti Santiago adalah untuk meningkatkan pembangunan kapasiti penyelidikan, terutamanya pada pemodelan kimia atmosfera dan rangkaian penyelidikan akademik dan saintifik

di peringkat antarabangsa.

Penyelidikan kali ini bukan usaha pertama Justin di Antartika kerana pernah berada di lokasi tersebut selama tiga bulan semasa program penyelidikan musim panas pada 2018.

YPASM akan mengadakan majlis selamat jalan kepada Justin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 19 Mac ini. - Bernama