Lindungi wanita teraniaya, mangsa keganasan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

STATISTIK didedahkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman – sebanyak 30,346 kes keganasan rumah tangga direkodkan dalam tempoh lima tahun sejak 2018 bukanlah jumlah yang boleh dipandang ringan.

Angka itu membuktikan kes keganasan rumah tangga semakin menjadi-jadi. Trend peningkatan itu, antara lain mungkin kerana sesetengah wanita yang menjadi mangsa lambat mendapatkan bantuan atau membuat aduan.

Kebanyakan mangsa keganasan rumah tangga mahu berahsia dan menjaga aib pasangan, takut serta kasihan dengan nasib anak-anak.

Tidak dinafikan, pelbagai pihak telah berusaha melakukan yang terbaik bagi membantu golongan wanita teraniaya tetapi ia seolah-olah tidak memberi sebarang perubahan.

Di mana silapnya? Mungkin jika solusi kepada masalah itu diselesaikan dengan segera, peningkatan angka yang semakin bertambah dapat dikurangkan.

Ya, kita sebagai rakyat perlu akur dengan undang-undang yang telah ditetapkan tetapi undang-undang digubal oleh manusia masih boleh dipinda mengikut keadaan semasa.

Proses yang dilihat mengambil masa terlalu lama dan perlu mengikut pelbagai prosedur menjadikan mangsa keganasan rumah tangga berfikir banyak kali untuk membuat aduan atau membawa kes ke muka pengadilan.

Malah, penangguhan kes dan kelewatan menyelesaikan beberapa isu seperti perceraian serta tuntutan nafkah boleh mengakibatkan tekanan perasaan, menyebabkan wanita yang teraniaya menjadi marah, beremosi dan kecewa.

Lebih teruk lagi, penangguhan kes biasanya akan meningkatkan kos guaman yang sedia tinggi. Ada juga mangsa yang tidak tahu apa hak mereka dan bagaimana mendapatkan pembelaan sewajarnya daripada institusi perundangan.

Justeru, adalah diharapkan segala proses atau hal berkaitan undang-undang bagi membantu golongan wanita yang teraniaya dan menjadi mangsa keganasan rumah tangga dipermudahkan. Kurangkanlah kerenah birokrasi.

Pada masa sama pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta di bawah Tabung Kasih Rahmah bagi membantu golongan wanita yang memerlukan bantuan dalam keadaan terdesak termasuk mangsa keganasan rumah tangga.

Semoga peruntukan itu dapat memberi sinar harapan kepada golongan berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!