Serangan politik takutkan PN - Muhyiddin

Muhyiddin ketika berucap pada program Solat Hajat Keselamatan Negara dan Solidariti Menentang Kezaliman di Pusat Tarbiyah Pas Pusat, Taman Melewar pada Khamis.
Muhyiddin ketika berucap pada program Solat Hajat Keselamatan Negara dan Solidariti Menentang Kezaliman di Pusat Tarbiyah Pas Pusat, Taman Melewar pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menganggap pendakwaan ke atasnya ialah serangan politik untuk menakutkan Perikatan Nasional (PN).

Muhyiddin berkata, walaupun berdepan pendakwaan, beliau yakin PN mampu memenangi enam negeri pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

"Gelombang besar telah melanda negara, keputusan luar biasa, ramai rakyat Melayu sokong PN. Hampir kesemua anak Melayu sokong Pas dan PN.

"Jadi cara jatuhkan dan tumbangkan PN dengan membuat tuduhan palsu yang tidak berasas.

"Jika tidak buat begitu, mereka bakal hadapi ancaman besar dan tidak mampu pertahan kuasa pada PRN akan datang," katanya berucap pada program Solat Hajat Keselamatan Negara dan Solidariti Menentang Kezaliman di Pusat Tarbiyah Pas Pusat, Taman Melewar pada Khamis.

Beliau hadir sekitar jam 9 malam, sejurus selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM selama sembilan jam.

Dalam ucapannya, Muhyiddin turut mengulangi kenyataan bahawa beliau tidak terlibat dalam salah guna kuasa membabitkan isu Jana Wibawa dan pengecualian cukai Yayasan Al Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar.

Hadir pada program solat hajat itu ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin selain Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Antara pimpinan Pas yang hadir ialah Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan,

Sementara itu Takiyuddin berkata, pihaknya akan menjadi antara panel peguam yang akan membantu Muhyiddin dalam kes yang akan dihadapi itu di mahkamah nanti.

Beliau berpandangan, pendakwaan terhadap Muhyiddin tidak boleh dikenakan memandangkan siasatan lengkap oleh pihak berkuasa masih belum lengkap.

“Beberapa keajaiban sudah berlaku pada kes yang bakal dihadapi Muhyiddin, jarang-jarang pertuduhan dikenakan kepada seseorang tertuduh pada hari Jumaat iaitu hari paling sibuk di pejabat kerajaan termasuk mahkamah.

“Mahkamah memerlukan masa untuk menguruskan jaminan dan sebagainya. Apa kata kalau mahkamah esok sibuk tidak boleh menguruskan jaminan kepada orang yang dituduh, sudah tentulah dia akan direman sehingga akan dikemukakan pada hari Isnin akan datang," katanya.