Prosiding rayuan pendakwaan kes bunuh 23 penghuni tahfiz 11 Mei ini

Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah - Foto Bernama
Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Prosiding rayuan pihak pendakwaan di Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis, atas pembebasan seorang pemuda berhubung kes bunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, pada 2017 lalu bersambung 11 Mei depan.

Tiga panel hakim diketuai Datuk Abu Bakar Jais menetapkan tarikh berkenaan selepas selesai hujahan daripada peguam, Haijan Omar yang mewakili seorang lagi remaja (penama pertama), yang dipenjara selama tempoh mengikut perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi kes sama.

Turut bersidang dalam prosiding ini ialah Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun.

Sementara itu, semasa prosiding, Haijan menghujahkan bahawa hakim perbicaraan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah tersalah arah ketika menjatuhi hukuman.

Ini kerana katanya, wujud masalah hasil analisa kes itu selain keterangan mengenai alibi anak guamnya selaku perayu tidak langsung disiasat oleh pegawai penyiasat.

Selain itu beliau berkata, wujud kelompangan dalam kes pendakwaan kerana perbualan yang menyatakan “bila nak bakar tahfiz”, tidak dapat disahkan sama ada ia benar-benar wujud atau sebaliknya.

“Bukan itu sahaja, saya menghujahkan, tiada saksi yang melihat rentetan kejadian membabitkan penama pertama yang ketika kejadian berusia 16 tahun.

“Pihak pendakwaan itu juga hanya bergantung kepada keterangan ikut keadaan yang tidak kukuh.

“Maka, saya dengan rendah diri menghujahkan, sabitan yang dikenakan itu tidak selamat dan mahkamah mempunyai kuasa untuk melihat perkara ini dan membenarkan rayuan ini,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling menghujahkan, saksi ke-68 dan ke-69 ketika prosiding kes pendakwaan telah melihat kejadian melompat pagar itu.

“Mereka dapat mengecam perayu dengan melihat gaya dan pakaiannya, ketika memanjat pagar, berbekalkan pencahayaan lampu jalan.

“Kami bergantung kepada keterangan ikut keadaan menerusi keterangan seorang penghuni pusat tahfiz itu yang melihat kepulan asap ketika terjaga, pada awal pagi hari kejadian,” katanya.

Meskipun tidak dapat mengesahkan waktu kejadian, beliau berkata, saksi yang berusia 17 tahun itu, menyedari terdapat asap.

Justeru itu katanya, pendakwaan menghujahkan, mahkamah tinggi memutuskan pengecaman dibuat saksi terbabit adalah selamat dan diyakini.

Pada 17 Ogos 2020, penama pertama dipenjara sehingga mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azman Abdullah menjatuhi hukuman itu selepas pemuda itu didapati bersalah membunuh 23 individu dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Dato Keramat, pada September 2017.

Sementara seorang lagi remaja yang juga tertuduh kedua, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan sama.

Dua remaja berkenaan yang ketika kejadian berumur 16 tahun, didakwa membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz dalam kebakaran di pusat tahfiz tiga tingkat tersebut.

Dua daripada mangsa yang terkorban di pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju Kuala Lumpur, antara jam 4.15 pagi dan 6.45 pagi 14 September 2017 merupakan warden di pusat tahfiz itu.

Dalam kejadian menyayat hati itu, 23 mangsa maut ialah Muhammad Danieal Md. Amin, 14, Ahmad Rijal Mohammad Rodzi, 13, Muhammad Hasrullah Ismaik, 14, Muhammad Haikal Abdullah, 12, Muhammad Aidil Aqmal Mohd Zamzuri, 10, Muhammaf Fahmie Abdullah, 11, Muhammad Afiq Haqimie Hairulizwan, 11, Muhammad Aiman Ramzanudin, 12, Azkar Dariemi F. Zaska, 8, Nik Muhammad Ridzuan Nik Azlan, Azkar Abiedi F. Zaska, 11.

Selain itu mangsa lain adalah Umar Al Khatab Helmi, 6, Amiel Asyraaf Abd Rasid, 11, Muhammad Nizammudin Nasrun, 13, Muhammad Hafiz Iskandar Sulaiman, 11, Muhammad Harris Ikhwan Mohd Sulaiman, 10, Muhammad Taufik Hidayat Norazizan, 16, Ahmad Harith Adam Mohd.Nor Hadi, 12, Muhammad Hazim Ahmad Nor, 13, Muhammad Syafik Haikal Abdullah, 13, Muhammad Zattulah Roslan, 11, Mohd Yusuf Md, 26 (guru) dan Mohd. Amrul Nizam Sakarno, 25 (guru).