Barisan Exco Johor pasukan Muhyiddin, kata penganalisis

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Barisan Exco Negeri Johor yang baharu dilihat adalah pasukan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penganalisis politik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Md Akbal Abdullah berpendapat, bayangan Muhyiddin jelas kelihatan dalam senarai baharu tersebut.

"Pada saya soal kem itu nombor dua, tapi saya anggap barisan Exco baharu ini... inilah pasukan Muhyiddin.

"Maknanya mereka akan beri tumpuan kepada negeri ini. Nama-nama disenaraikan itu pun yang setia pada Muhyiddin," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, barisan sebelum ini di bawah pentadbiran Menteri Besar Johor lama, Datuk Osman Sapian kelihatan longgar.

"Dalam tempoh lebih kurang 10 bulan ini tujuh Exco lama kita lihat masih perlahan di bawah kepimpinan menteri besar lama.

"Tapi tak tahulah jika mereka berubah di bawah menteri besar baharu," katanya.

Mengenai pelantikan orang lama, Tosrin Jarvanthi dalam barisan Exco kali ini, Dr Md Akhbal berkata ADUN Bukit Permai itu boleh membimbing Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Artikel Berkaitan:

"Beliau orang lama dalam politik Johor, malah orang paling berusia dalam senarai Exco serta wakil rakyat PH.

"Kehadiran beliau boleh bantu dan bimbing menteri besar dalam pelbagai hal," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketepikan soal politik, mula bekerja, kata MB Johor

ARTIKEL BERKAITAN: Barisan Exco Kerajaan Negeri Johor angkat sumpah

Semalam, Barisan Exco Kerajaan Negeri Johor yang baharu selamat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Istiadat pelantikan kesemua barisan Exco Kerajaan Negeri tersebut berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene.

Barisan Exco yang dilantik di bawah kendalian Dr Sahruddin turut menampilkan tiga wajah baharu manakala selebihnya adalah Exco terdahulu yang dikekalkan.

Exco sebelum ini yang mengangkat sumpah adalah Aminolhuda Hassan (Parit Yaani), Dzulkefly Ahmad (Kota Iskandar), Jimmy Puah Wee Tse (Bukit Batu), Dr S Ramakrishnan (Bekok), Mohd Khuzzan Abu Bakar (Semerah), Sheikh Omar Ali (Paloh) dan Liow Cai Tung (Johor Jaya).

Tiga wajah baharu yang dilantik adalah Tan Chen Choon (Jementah), Mohd Solihan Badri (Tenang) dan Tosrin Jarvanthi (Bukit Permai).

Ketiga-tiga nama baharu itu menggantikan slot Exco ditinggalkan Mazlan Bujang (Puteri Wangsa), Tan Hong Pin (Skudai) dan Dr Sahruddin yang dilantik sebagai Menteri Besar Johor.

Dalam pada itu, Dr Sahruddin berkata, barisan kepimpinan baharu kerajaan negeri Johor diharap dapat menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya selain mengetepikan permainan politik seperti yang berlaku sebelum ini.

Kesemua Exco yang dilantik telah diberikan amanah besar dan perlu bersikap jujur dan serta ikhlas dalam menjalankan tugas.

"Semua Exco dengan portfolio baharu ini diharap dapat menggalas tanggungjawab diberi dengan jujur, ikhlas dan penuh amanah serta mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan diri," katanya.

Dr Sahruddin berkata, pihaknya optimis untuk menjalankan tugas dengan sehabis baik selain berusaha memastikan kesemua janji dapat ditunaikan.