Ketepikan soal politik, mula bekerja, kata MB Johor

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal (dua, kiri) bersama tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (EXCO) Johor yang baharu dilantik iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Mohd Solihan Badri (ADUN Tenang) (kiri), Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Tosrin Jarvanthi (AFUN Bukit Permai) (dua, kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar, Tan Chen Choon (ADUN Jementah)(kanan), bergambar bersama selepas sidang media di Pejabat Menteri Besar di Kota Iskandar hari ini. - Foto Bernama
A
A

ISKANDAR PUTERI - Barisan kepimpinan baharu kerajaan negeri Johor diharap dapat menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya selain mengetepikan permainan politik seperti yang berlaku sebelum ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Sahruddin Jamal berkata, kesemua Exco yang dilantik telah diberikan amanah besar dan perlu bersikap jujur dan serta ikhlas dalam menjalankan tugas.

"Semua Exco sudah diberikan amanah, dan sekarang adalah waktu untuk kita bekerja dan kurangkan berpolitik kerana rakyat mengharapkan kita untuk membawa pembaharuan dan kemajuan kepada negeri ini.

"Semua Exco dengan portfolio baharu ini diharap dapat menggalas tanggungjawab diberi dengan jujur, ikhlas dan penuh amanah serta mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan diri," katanya pada sidang media di Bangunan Dato Jaafar Muhammad, di sini, hari ini.

Sahruddin berkata, pihaknya optimis untuk menjalankan tugas dengan sehabis baik selain berusaha memastikan kesemua janji dapat ditunaikan.

Dalam masa sama, mengenai pengguguran dua nama kepimpinan kerajaan negeri sebelum ini, beliau menjelaskan ia hanya disebabkan dirinya mahu mempunyai kumpulan selesa dan mudah untuk bekerja.

"Seperti yang pernah saya cakap sebelum ini, saya akan mencari dan akan cuba mengenal pasti Exco yang saya selesa bekerja dengan mereka.

"Kita bekerja untuk rakyat, saya juga penjawat awam. Jadi, saya mahu pastikan saya dan Exco dapat melaksanakan amanah yang diberi sebagai penjawat awam," katanya.

Beliau bagaimanapun turut mengucapkan terima kasih kepada dua nama tersebut iaitu ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang dan ADUN Skudai, Tang Hong Pin atas kerjasama mereka semasa menggalas jawatan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum selama 11 bulan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia