Berhenti kerja jaga isteri strok, anak OKU

Ishak terpaksa berhenti kerja bagi memberi sepenuh perhatian kepada isterinya.
Ishak terpaksa berhenti kerja bagi memberi sepenuh perhatian kepada isterinya.
A
A
A

SEREMBAN - Berat ujian buat seorang suami apabila isteri yang selama ini menggalas tanggungjawab sepenuhnya mengurus anak orang kurang upaya (OKU) mereka di rumah, kini terlantar sakit akibat strok.

Keadaan itu menyebabkan Ishak Abd Rahim, 43, terpaksa membuat keputusan berhenti kerja Mei tahun lalu bagi memberi perhatian sepenuhnya kepada isteri, Norfarahida Zainal, 43, dan anak istimewanya, Balqis Najwa, 19.

Kini menjadi rutin buat bapa kepada empat cahaya mata itu menguruskan isteri yang tidak lagi mampu untuk bergerak dan hilang ingatan.

"Apa yang terjadi kepada isteri sangat mengejutkan saya kerana selama ini dia tak pernah berdepan masalah kesihatan serius tapi secara tiba-tiba rebah di rumah.

"Pemeriksaan mendapati, tekanan darahnya terlalu tinggi mengakibatkan pembuluh darahnya pecah dan sejak itu dia terus terlantar," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Jasmin Indah di sini pada Rabu.

Menurutnya, doktor memaklumkan peluang isteri untuk pulih hanya 30 ke 40 peratus dan kini hanya bergantung kepada susu khas.

Malah katanya, disebabkan keadaan isteri yang hanya terbaring, dia mengalami luka 'bedsore' di belakang badan yang agak besar.

Ishak berharap berlalu keajaiban kepada Norfarahida.
Ishak berharap berlalu keajaiban kepada Norfarahida.

"Saya perlu peruntukan kira-kira RM2,000 sebulan untuk penjagaan dan perubatan isteri sahaja. Susu khas itu paling mahal iaitu RM75 satu tin.

"Itu pun saya terpaksa hadkan beri susu kepada isteri kerana nak kurangkan kos," katanya.

Apabila mengenang ujian dilalui, Ishak mengakui ada ketikanya dia menangis dalam hati ditambah pula buntu memikirkan duit simpanan yang hampir susut.

Ujarnya, selama ini isterilah yang menjadi penguat hati tetapi kini segalanya perlu ditanggung sendirian.

"Dulu apabila diuji dengan anak OKU, saya ada isteri sebagai pemberi semangat, tetapi sekarang kena berdepan semua ini sendirian.

"Keadaan ini betul-betul buat saya rasa hilang semangat. Sekarang, saya ada lagi duit simpanan buat tampung hidup, tapi tak tahu sampai bila boleh bertahan kerana tak bekerja," katanya.

Malah disebabkan tekanan dihadapi Ishak mengakui pernah meminta anak bongsunya, Balqis Najla berusia 17 tahun untuk berhenti sekolah bagi membantu mengurus isteri dan anak OKU sekali gus membolehkannya terus mencari rezeki buat keluarga.

Bagaimanapun katanya, dia mengubah fikiran selepas memikirkan masa depan anaknya itu yang juga cemerlang dalam peperiksaan.

"Saya ada terima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan. Tapi untuk tampung perbelanjaan sepenuhnya memang tak mencukupi.

Ishak melihat keadaan Balqis Najwa sambil diperhatikan Balqis Najla.
Ishak melihat keadaan Balqis Najwa sambil diperhatikan Balqis Najla.

"Kalau ada sesiapa yang boleh tawarkan kerja dari rumah saya sanggup terima asalkan ia boleh bantu kehidupan saya," katanya.

Kata Ishak, dia juga mengalu-alukan jika ada mana-mana pihak yang dapat membantu menawarkan rawatan alternatif kepada isterinya termasuk soal penjagaan pesakit strok.

Sebelum ini Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasih N9) menyampaikan sumbangan barang keperluan dan lampin pakai buang kepada keluarga berkenaan.

Sehubungan itu, orang ramai boleh menghulurkan bantuan dengan menghubungi Ishak 016-7682114 atau menyalurkan sumbangan ke nombor akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 05001-41-100048956 (Ishak).