Masjid tempat penyatuan umat bukan cari pengaruh politik - Mufti

Masjid bukan tempat untuk berpolitik sebaliknya untuk menyatupadukan umat. Gambar kecil: Wan Salim
Masjid bukan tempat untuk berpolitik sebaliknya untuk menyatupadukan umat. Gambar kecil: Wan Salim
A
A
A

GEORGETOWN - Masjid sepatutnya dijadikan tempat untuk menyatukan umat menerusi solat berjemaah, nasihat-menasihati, tazkirah dan kuliah daripada agamawan dan ilmuwan yang ikhlas serta bertanggungjawab.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, pengalaman sejak beberapa dekad yang lalu meyakinkan kita bahawa tidak wajar sekiranya masjid digunakan sebagai gelanggang untuk berpolitik oleh pemain politik yang mewakili parti masing-masing.

Menurutnya, masjid juga bukan tempat untuk mencari pengaruh dalam berpolitik kerana ia merupakan tempat yang suci.

"Saya menjunjung kasih kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana titah ucapan baginda yang menegaskan bahawa masjid perlu bebas daripada pengaruh dan elemen politik kepartian.

"Tindakan berpolitik di dalam masjid seringkali menimbulkan perbalahan dan memecahbelahkan sesama umat Islam, sedangkan agama Islam menyeru kepada perpaduan umat bagi memastikan kekuatan dan ketinggian kedudukan mereka," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Kata beliau, berpolitik tidak salah namun perlu dijalankan di tempat yang betul.

"Memang tidak dinafikan bahawa di dalam Islam ada politik, tetapi politik dalam pengertian memberi pandangan dan idea bagi mengatur hal ehwal negara untuk membina kehidupan umat Islam supaya mencapai kemajuan dunia dan akhirat.

"Matlamat ini hanya mampu direalisasikan menerusi musyawarah dan pertukaran fikiran selain kesediaan kesemua pihak bekerjasama dan saling membantu antara satu sama lain.

"Sebaliknya politik kepartian memecahbelahkan umat ini dan melemahkan kedudukan mereka. Oleh itu, apa saja faktor yang menyumbang ke arah natijah sedemikian perlu dihalang termasuk tindakan menggunakan masjid untuk tujuan politik kepartian," katanya.

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin bertitah, masjid perlu dijadikan asas dan medium utama masyarakat Islam untuk bersepakat tanpa mengira perbezaan pangkat, kedudukan, pandangan dan fahaman politik masing-masing.

Baginda bertitah, masjid tidak wajar dijadikan medan yang boleh mencetuskan jurang berikutan perbezaan pandangan serta dendam politik dan akhirnya menyebabkan persengketaan berpanjangan sesama umat Islam.

Ia susulan pembatalan kuliah daripada penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus yang sepatutnya berlangsung di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong sebelum ini membangkitkan pelbagai reaksi selepas figura itu didakwa tidak mempunyai tauliah mengajar agama Islam di Selangor.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memaklumkan masjid atau surau tidak boleh menjemput individu yang tidak memiliki tauliah mengajar di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 pindaan 2016.