'Anggap tak kekal lama kerana isu dalaman' - Mohd Amar

Mohd Amar
Mohd Amar
A
A
A

KOTA BHARU - Pas beranggapan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan dapat bertahan lama kerana masalah dalaman gabungan itu sendiri.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, ada unsur-unsur tidak puas hati dalam kalangan ahli-ahli parti dan paling ketara melibatkan DAP dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bahkan didakwa dalam PKR itu sendiri.

“Berdasarkan pengalaman, ada yang tidak tahu menghormati orang lain, yang sepatutnya faham setiap parti ada perjuangan masing-masing.

“Apabila ada parti ikut kepala sendiri, ini yang menjadi masalah pada kerajaan. Sebab itu, ada yang berpandangan Kerajaan Perpaduan tidak akan bertahan lama kerana masalah dalaman, bukan sebab khianat daripada orang lain,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.

Mohd Amar berkata, beliau juga seiring dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan menjangkakan kerajaan diterajui Anwar itu akan tumbang tidak lama lagi.

Ujarnya, retorik oleh Perdana Menteri juga diyakini akan menjadi faktor yang boleh menjurus kepada keruntuhan kerajaan.

“Perkara-perkara yang disebutkan dalam ucapan-ucapan sebelum ini tidak menampakkan hasil. Contoh paling besar antirasuah, dalam kalangan mereka sendiri hadapi berpuluh kes mahkamah dan merosakkan retorik beliau.

“Beliau kata Perdana Menteri tidak boleh pegang jawatan Menteri Kewangan, tiba-tiba beliau pegang dan tidak boleh lantik keluarga tetapi beliau lantik anaknya, ini antara masalah yang dihadapi,” katanya.

Mohd Amar turut berpandangan bahawa kerajaan tidak ada hala tuju walaupun selepas lebih 100 hari Anwar menjadi Perdana Menteri.

Sebelum ini, Anwar menempelak kenyataan Abdul Hadi sebaliknya yakin Kerajaan Perpaduan akan bertahan sehingga tamat penggal pentadbiran.