Pulau Pinang kini tidak dipinggir lagi

No Image Caption
A
A
A

IMPIAN warga Pulau Pinang untuk memiliki mod pengangkutan baharu iaitu sistem Transit Aliran Ringan (LRT) bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya mungkin akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Khabar gembira itu susulan kesediaan Kementerian Pengangkutan untuk berbincang berkaitan cadangan kerajaan negeri bagi melaksanakan semula projek berkenaan selepas ia dibatalkan ketika era pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 2020.

Selain pembinaan LRT, kerajaan Persekutuan ketika itu juga membatalkan tiga lagi projek infrastruktur yang dicadangkan di Pulau Pinang iaitu feri ikonik Pulau Pinang, projek kereta kabel Bukit Bendera bernilai RM100 juta dan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) bernilai RM800 juta.

Disebabkan keputusan kerajaan PN ketika itu, ada beranggapan ia satu bentuk ‘pembalasan dendam’ politik kepada kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) selepas kedua-dua gabungan parti politik itu sudah tidak lagi duduk sebumbung malah menjadi seteru.

Namun selepas kerajaan PN tumbang dan Kerajaan Perpaduan mengambil alih tampuk kuasa di Putrajaya, impian rakyat Pulau Pinang merasai pembangunan empat projek infrastruktur itu akan menjadi realiti dalam tempoh tiga hingga empat tahun lagi.

Jika dahulu Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sering mengeluh Pulau Pinang selalu dipinggirkan daripada mendapat peruntukan Persekutuan baik ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) mahupun zaman PN berkuasa di Putrajaya, namun kini negeri itu diberi perhatian.

Di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pulau Pinang tidak lagi diabaikan seperti sebelum-sebelum ini.

Malah dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan baru-baru ini, Perdana Menteri mengumumkan cadangan pembesaran LTAPP yang akan dilakukan bagi menampung peningkatan jumlah penumpang saban hari.

Apabila selesai kerja-kerja pembesaran dan naik taraf itu dilakukan, LTAPP dijangka dapat menampung kapasiti penumpang melebihi 12 juta.

Selain itu, khabar gembira seterusnya buat warga Pulau Pinang selepas lebih 100 hari pemerintahan Kerajaan Perpaduan ialah berkaitan feri ikonik yang mungkin akan kembali beroperasi merentasi perairan negeri ini selepas perkhidmatannya dihentikan pada 31 Disember 2020.

Walaupun cadangan mengembalikan feri ikonik itu dilihat melibatkan nilai sentimental dan warisan sahaja, namun ia secara tidak langsung dapat menyelesaikan isu kesesakan trafik di Jambatan Pulau Pinang setiap hari seandainya perkhidmatan feri itu beroperasi seperti dahulu dengan membawa kenderaan empat roda.

Pastinya ia akan mengimbau kembali kenangan lama ketika menggunakan perkhidmatan feri itu, malah ia akan menjadi salah satu simbol pelancongan dunia berikutan penggunaan semula feri warisan yang telah berkhidmat sejak lebih 128 tahun lalu.

Selain perkhidmatan feri yang mempunyai keunikan tersendiri, Pulau Pinang juga terkenal dengan tempat peranginan yang mempesonakan termasuk kawasan Bukit Bendera yang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara sejak sekian lama.

Lebih bermakna kawasan tumpuan pelancong yang menggunakan perkhidmatan sistem kereta api funikular di Bukit Bendera meraikan sambutan ke-100 tahun perkhidmatannya pada tahun ini.

Sejak pembukaan funikular Bukit Bendera pada 21 Oktober 1923, ia telah membawa lebih 47 juta pengunjung termasuk 1.48 juta pengunjung yang menggunakan perkhidmatan kereta api berkenaan pada tahun lalu.

Selain funikular yang digunakan, pengunjung Bukit Bendera juga bakal menikmati perkhidmatan kereta kabel yang akan dibangunkan dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun lagi.

Projek Kereta Kabel Bukit Bendera bernilai RM245 juta itu bakal dilaksanakan oleh syarikat Hartasuma Sdn Bhd selepas syarikat tersebut berjaya dalam proses bidaan melalui Request For Proposal (RFP) pada 13 Januari tahun lalu.

Bagaimanapun kerajaan negeri perlu diingatkan, tidak kira apa pun pembangunan yang mahu dibuat sama ada berskala kecil ataupun mega, kelestarian sumber dan alam sekitar perlu diberi keutamaan agar tidak menjejaskan mana-mana pihak dan hidupan.

Sekiranya perkara itu tidak diganggu, kehijauan bukit tidak ditarah dan bebas daripada risiko bencana disebabkan impak kerja-kerja dilakukan, pastinya seluruh lapisan rakyat di negeri ini akan menyokong pembangunan yang dirancang.

* Mohd Iskandar Othman ialah wartawan Sinar Harian Pulau Pinang