Guru al-Quran reda diuji penyakit kanser

Sopiah bersyukur dapat menghabiskan separuh dari usianya mengajar al-Quran dan fardu ain kepada anak-anak tempatan sehingga dia jatuh sakit.
Sopiah bersyukur dapat menghabiskan separuh dari usianya mengajar al-Quran dan fardu ain kepada anak-anak tempatan sehingga dia jatuh sakit.
A
A
A

BERA - Disahkan sebagai penghidap kanser payudara sejak lebih lima tahun lalu tidak pernah melunturkan semangat seorang wanita warga emas untuk meneruskan baktinya sebagai guru al-Quran.

Sopiah Basri, 85 dari Felda Bukit Puchong,Triang Bera, bersyukur dapat menghabiskan separuh dari usianya mengajar al-Quran dan fardu ain kepada anak-anak tempatan sehingga dia jatuh sakit.

Dia berkata, mengajar al-Quran menjadikan jiwanya tenang walaupun dalam keadaan sakit.

"Walaupun diuji dengan penyakit ini, saya tidak pernah merasakan diri bernasib malang atau kurang bernasib baik sebaliknya menerima dugaan ini sebagai ujian daripada ALLAH.

"Sebagai hamba-NYA, saya sentiasa reda dengan segala yang berlaku," katanya.

Sopiah sebelum itu menerima kunjungan wakil Cancer Support Pahang (CSP), Izudin Muhamad Amin sempena Program Ziarah Prihatin NGO itu di sini, minggu lalu.

Wanita itu berkata, pelbagai usaha dan rawatan telah dilakukan untuk merawat kanser dihidapi termasuk pengambilan ubat-ubatan moden dan tradisional selain kimoterapi.

"Sejak menghidap kanser payudara, saya terpaksa berulang-alik dari Felda Bukit Puchong, Triang ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh sejauh 63 kilometer untuk menerima rawatan dan mengambil ubat-ubatan.

“Walaupun jauh, saya tidak pernah patah semangat sebaliknya semua ini dilalui dengan reda.

"Di sebalik ujian ini, hati saya tetap tenang malah bersyukur kerana di luar sana ada lagi orang lain yang diuji dengan dugaan lebih berat,” katanya.

Sopiah ketika menerima kunjungan Izudin sempena Program Ziarah Prihatin NGO itu di sini.
Sopiah ketika menerima kunjungan Izudin sempena Program Ziarah Prihatin NGO itu di sini.

Sopiah yang kehilangan suami sejak 2003 mengakui badan sukar menerima rawatan dalam usianya kini sebaliknya lebih bergantung kepada ubat-ubatan untuk menahan sakit.

"Saya juga tidak sabar untuk menjalani ibadah puasa pada Ramadan yang akan menjelang tiba tidak lama lagi.

"Harapnya Ramadan ini saya dapat berpuasa penuh kerana ibadah ini juga dapat menjadikan jiwa saya tenang,” katanya.

Sementara itu, Izudin berkata, CSP sentiasa aktif menyantuni pesakit kanser dan tidak dibiarkan mereka bersendirian.

“Ramai penghidap kanser beranggapan hidup mereka sudah berakhir dan berputus asas apabila disahkan mengidap penyakit itu.

“Peranan CSP membantu pesakit kanser sedaya upaya yang mampu selain memberikan semangat supaya mereka dapat menjalani kehidupan seperti biasa," katanya.

Pada program itu, Izudin turut menyampaikan sumbangan kepada Sopiah.