Kenyataan Hamzah satu penghinaan terhadap mahkamah

Dari kiri, Zolkifly, Afif Zulkifli dan Khaliq diarah keluar Dewan pada Isnin selepas usul pengosongan kerusi diluluskan. (Gambar kecil: Chow Kon Yeow)
Dari kiri, Zolkifly, Afif Zulkifli dan Khaliq diarah keluar Dewan pada Isnin selepas usul pengosongan kerusi diluluskan. (Gambar kecil: Chow Kon Yeow)
A
A
A

GEORGETOWN - Kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin terhadap usul Pengisytiharan Kekosongan Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang diluluskan adalah satu penghinaan terhadap Mahkamah Persekutuan dan Perlembagaan Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ini kerana, Mahkamah Persekutuan dengan jelasnya telah membuat keputusan yang mensahihkan Perlembagaan Pulau Pinang berhubung dengan anti lompat parti tidak bercanggah dengan sebarang undang-undang.

Menurutnya, selain itu, akta yang digunakan juga adalah satu undang-undang yang sah.

"Jadi apa yang disuarakan selain daripada pandangan oleh Mahkamah Persekutuan dan juga Perlembagaan negeri adalah satu penghinaan kepada Mahkamah Persekutuan dan Perlembagaan Pulau Pinang.

"Keputusan yang dibuat semalam (Isnin) selari dengan Perkara 14A Perlembagaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan klausa yang melarang wakil rakyat melompat parti," katanya pada Selasa.

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (DAP-Air Putih) berkenaan bagaimana Kerajaan Negeri Pulau Pinang mahu menguruskan dakwaan-dakwaan pihak luar termasuk Hamzah berkenaan tindakan pengosongan empat kerusi DUN Bersatu seperti diluluskan sidang DUN pada Isnin.

Sebelum ini, Hamzah mendakwa tindakan DUN Pulau Pinang meluluskan usul mengosongkan kerusi empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) adalah satu penyalahgunaan kuasa dan bermotif politik.

Ini kerana, Hamzah berkata, dua ADUN Bersatu iaitu Khalid Mahtab Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Lazim (Teluk Bahang) tidak pernah melakukan apa-apa perkara yang boleh menyebabkan kerusi mereka perlu dikosongkan di bawah Artikel 14A.

Dalam Sidang DUN pada Isnin, Dewan telah meluluskan usul untuk mengosongkan kerusi terhadap empat ADUN daripada Bersatu telah diluluskan oleh DUN.

Empat ADUN tersebut adalah ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim, ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim dan ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin.