Pulau Pinang nafi terburu-buru bentang usul kosongkan kerusi

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang menafikan dakwaan mengatakan usul Pengisytiharan Kekosongan Kerusi DUN Pulau Pinang terhadap empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri telah menunggu dua tahun setengah untuk membawa usul tersebut di Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas proses perundangan di mahkamah diperolehi.

Menurutnya, dakwaan mengatakan kerajaan negeri membentangkan dengan tergesa-gesa juga adalah tidak benar.

"Kita sudah memberi notis pemberitahuan kepada keempat-empat ADUN 14 hari sebelum Persidangan DUN. Selain itu, kita sudah menunggu selama dua tahun setengah dengan mematuhi semua proses mahkamah dan undang-undang untuk membentangkan usul ini.

"Terima kasih kepada keempat-empat ADUN yang membawa isu ini ke mahkamah kerana akhirnya mahkamah membuat keputusan bahawa permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran bagi mencabar DUN daripada meluluskan usul undang-undang anti lompat parti ditolak.

"Setelah keputusan mahkamah diperolehi, baru usul ini dibentangkan di Dewan untuk dibahaskan seterusnya diluluskan," katanya ketika membahas usul Pengisytiharan Kekosongan Kerusi DUN Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata, keempat-empat ADUN tersebut sebenarnya mempunyai masa yang cukup untuk membuat rayuan setelah Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka bagi mendapatkan injunksi untuk menghalang DUN Pulau Pinang daripada membentangkan usul mengosongkan kerusi terbabit sehingga rayuan berhubung perkara itu didengar.

"Keputusan mahkamah itu dibuat pada 2 Mac lalu, mereka ada tiga hari untuk membuat rayuan namun sehingga pagi ini (Isnin), kita tidak menerima sebarang rayuan dari mereka.

"Oleh itu, dakwaan mengatakan kerajaan negeri tergesa-gesa membentangkan usul ini adalah tidak benar sama sekali," katanya.

Sebelum itu, usul untuk mengosongkan kerusi terhadap empat ADUN Parti Bersatu telah diluluskan oleh DUN yang diadakan pada Isnin.

Usul tersebut dikemukakan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman dan disokong oleh Jagdeep Singh Deo (DAP-Datuk Keramat) yang kemudiannya mendapat sokongan majoriti ahli dewan.

Susulan daripada itu, ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim, ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim dan ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin diarahkan keluar dari Dewan oleh Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang.

Selain empat ADUN tersebut, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor (UMNO-Sungai Dua) turut berpendapat Kerajaan Pulau Pinang terburu-buru dalam membawa usul tersebut untuk diluluskan memandangkan masih terdapat beberapa perkara melibatkan usul berkenaan yang boleh dipersoalkan.

Kata beliau yang masih lagi memegang jawatan Ketua Pembangkang, antara perkara tersebut adalah ketidakseragaman akta lompat parti di peringkat kerajaan negeri dan kerajaan Pusat.

Selain itu katanya, kerajaan negeri sebelum ini tidak mengambil keputusan sama dalam kes melibatkan ADUN Pas, Datuk Mohd Salleh Man sewaktu Pas keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) pada 2018.

"Saya tersepit sebenarnya, tetapi sejak dulu lagi, saya tidak pernah bersetuju dengan tindakan mana-mana ADUN yang memilih untuk melompat parti. Saya nampak, pembentangan usul ini dibuat agak terburu-buru.

"Ini kerana, kes ini dibawa ke peringkat Mahkamah Rayuan dan bagaimana sekiranya mereka menang kelak? Ini boleh memberi kesan lain kepada kerajaan negeri dan jika ia berlaku, di mana imej dan kedudukan Kerajaan Pulau Pinang selaku pembuat keputusan?

“Sebab itu bagi saya, kerajaan negeri jika boleh, menangguhkan dulu dan tidak perlu melaksanakan usul pengosongan kerusi melibatkan empat ADUN ini,” katanya.

Beliau bagaimanapun memilih untuk berkecuali dalam usul pengosongan kerusi melibatkan empat ADUN tersebut.