MB Johor mohon PM pertimbang moratorium untuk mangsa banjir

Onn Hafiz
Onn Hafiz
A
A
A

JOHOR BAHRU - Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mempertimbangkan moratorium antara tiga hingga enam bulan diberikan kepada mangsa banjir di negeri ini.

Menurut muat naik di laman Facebooknya pada Isnin, moratorium itu akan dapat meringankan bebanan mangsa banjir yang mempunyai pinjaman daripada institusi perbankan.

"Pada tahun ini ramai rakyat Johor yang terpaksa melalui ujian banjir yang amat mencabar bukan hanya sekali, malah dua kali.

"Bencana sebegini sudah tentu memberikan impak kewangan yang cukup besar kepada mereka. Ada yang kerosakan harta benda seperti kereta, perabot, peralatan elektrik dan sebagainya, malah ada juga yang mengalami kerugian hasil tanaman dan haiwan ternakan.

"Maka, bagi pihak mereka, saya dengan rasa rendah diri ingin memohon dan merayu agar YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat mempertimbangkan moratorium sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan bagi mangsa-mangsa banjir yang terjejas," katanya.

Onn Hafiz berharap supaya semua mangsa banjir boleh diberikan sedikit kelegaan dari segi moratorium dalam tempoh berkenaan.

Bencana banjir kali ini dianggap terburuk apabila hampir 50,000 dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di semua 10 daerah di negeri ini.

Sementara itu, Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Md Shah berkata, moratorium tersebut membolehkan peniaga yang terkesan menarik nafas lega untuk memulihkan perniagaan selepas banjir.

"Saya percaya kerajaan persekutuan dan Bank Negara Malaysia boleh memikirkan dan menggunakan mekanisme sesuai bagi membolehkan pelaksanaan ini dibuat, antaranya meminta pemohon yang ingin memohon penangguhan bayaran mengemukakan bukti atau dokumen sokongan daripada ketua kampung atau Ppnghulu yang mengesahkan mereka terkesan dengan bencana banjir," katanya.