Empat kes kematian akibat rabies di Sarawak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Sarawak mencatatkan enam kes jangkitan rabies dengan empat daripadanya membabitkan kematian dalam tempoh 1 Januari hingga 5 Mac tahun ini.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, kes-kes kematian terbabit berlaku masing-masing satu kes di daerah Siburan, Kanowit, Sibu dan Bintulu.

"Tahun lepas pula pada keseluruhannya ada sebanyak 12 kes rabies dan sebanyak 10 kes kematian di Sarawak," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Katanya sejak bermulanya rabies di Sarawak pada 2017, keseluruhannya terdapat 48 kes kematian telah dilaporkan dan sehubungan itu, beliau mahu orang ramai terus mengambil serius terhadap bahaya penyakit itu.

"Vaksinasi awal manusia terhadap rabies dapat menyelamatkan nyawa. Selepas itu, apabila rabies sampai ke otak, 99 peratus boleh menyebabkan kematian," katanya.

Dr Sim turut menasihatkan orang ramai mendapatkan suntikan vaksin rabies bagi anjing atau kucing peliharaan mereka yang diberikan percuma oleh Jabatan Veterinar Sarawak (JVS).

Beliau berkata, Sarawak juga mencatatkan sebanyak 2,210 kes gigitan haiwan dari Januari hingga 5 Mac tahun ini dengan sebanyak 1, 205 kes gigitan anjing, 985 gigitan kucing dan 20 kes haiwan lain.

JVS turut mengambil 40 sampel anjing dan kucing sepanjang tempoh itu dan didapati 16 sampel anjing dan dua sampel kucing positif rabies.

"Di samping itu, sebanyak 514 ekor haiwan iaitu sebanyak 492 ekor anjing dan 22 ekor kucing telah divaksinasi JVS tahun ini,” tambahnya. - Bernama