Batal ceramah: Hantaran di media sosial kurang tepat - JAIS

Laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Mohd Shazihan
Laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Mohd Shazihan
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kesal dengan tindakan individu dan pihak tertentu yang membuat hantaran kurang tepat di media sosial mengenai pembatalan ceramah membabitkan penceramah bebas, Mohamad Wadi Annuar Ayub.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shazihan Ahmad berkata, ia telah mewujudkan persepsi tidak baik terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pihak berkuasa agama dan kerajaan negeri Selangor.

"JAIS mengambil maklum berkaitan hantaran dimuat naik di laman sosial Facebook ustaz (Mohamad) Wadi Annuar pada 5 Mac tentang makluman pembatalan ceramah di Selangor yang kemudiannya telah dikongsi semula pada hari sama.

"Merujuk kepada hantaran di media sosial tersebut, JAIS ingin menegaskan bahawa nasihat yang diberikan kepada pihak penganjur bagi sesi ceramah ustaz (Mohamad) Wadi Annuar adalah selaras dengan ketetapan Seksyen 118, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016.

"Ini menetapkan bahawa hanya Jawatankuasa Tauliah yang mempunyai bidang kuasa memberikan tauliah bagi maksud pengajaran agama Islam atau apa-apa perkara tentang agama Islam di Negeri Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Ahad, pentadbir laman Facebook penceramah bebas terbabit memaklumkan dua ceramah Mohamad Wadi Annuar di Selangor pada 10 dan 11 Mac di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam dan Padang Astaka Tanjung Karang, Selangor dibatalkan.

Bagaimanapun, pentadbir laman Facebook penceramah bebas terbabit atau lebih dikenali di laman sosial itu sebagai ustaz Wadi Annuar tidak mendedahkan sebab pembatalan ceramah berkenaan.

Sebelum ini, kuliah maghrib penceramah popular, ustaz Azhar Idrus (UAI) yang dijadualkan pada 26 Februari di Masjid Tengku Ampuan Bukit Jelutong juga dibatalkan.

Menurut Facebook rasminya, Kuliah Maghrib Perdana UAI itu terpaksa dibatalkan atas kuasa JAIS.

JAIS kemudiannya mengesahkan UAI tidak mempunyai tauliah untuk mengajar agama Islam di negeri ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Ceramah Ustaz Wadi Annuar di Selangor dibatalkan

ARTIKEL BERKAITAN: Isu ceramah: Kerajaan Selangor tak campur tangan

ARTIKEL BERKAITAN: JAIS batal kuliah Ustaz Azhar Idrus

ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz Azhar Idrus jelaskan isu kuliah dibatalkan

ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz Azhar Idrus tiada tauliah mengajar agama di Selangor